Wednesday, 3 December 2014

Cinta Kebahagiaan atau Kesengsaraan?



Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.

Seringkali kita bertanya pada diri adakah kita mencintai untuk merasa bahagia atau kesengsaraan? 

Jika anda membaca soalan ini pasti anda merasa pelik, soalan jenis apa ni? Kalau dah namanya cinta mestilah inginkan kebahagiaan dan kehidupan yang sejahtera! Itulah yang sering kita inginkan, betul tak? 

Memang kedengaran pelik kerana kita mencintai untuk kebahagiaan, kesejahteraan, kedamaian. Tapi realitinya adakah semuanya berlaku seperti apa yang kita mahukan. Ada setengahnya yang benar-benar memperolehi kebahagiaan itu, namun ada pula yang setengahnya tidak seindah yang diimpikan, seolah-olah cinta yang tidak kesampaian.

Cuba anda bertanya dengan jujur pada diri sendiri, adakah anda yakin dengan cinta anda akan beroleh kebahagiaan? Atau anda hanya mahukannya, tetapi ianya tidak pernah terjadi? Atau yang paling dahsyat anda tidak pernah berfikir langsung untuk memilikinya, maka anda membiarkan sahaja diri anda mengikut arus kehidupan.

Imam Al-Ghazali telah berkata bahawa : "Apabila tercetus niat yang kuat di dalam hati (dunia metafizik-ghaib), maka satu molekul akan terbentuk di dalam dunia fizikal. Lama-kelamaan, niat itu akan menjadi realiti.

Cerdik pandai pula mengatakan : "Berhati-hatilah dengan pemikiran (niat) kamu kerana ia akan menjadi perkataan kamu. Berhati-hati dengan perkataan kamu kerana ia akan menjadi perbuatan kamu. Berhati-hati dengan perbuatan kamu kerana ia akan menjadi tabiat kamu. Berhati-hatilah dengan tabiat kamu kerana ia akan menjadi peribadi kamu. Berhati-hati dengan peribadi kamu kerana ia akan menentukan akhir nasib hidup kamu, sama ada kegembiraan atau kesedihan.

Menurut Dr. Thurman Fleet pula, kita mempunyai satu minda yang terbahagi kepada tiga komponen. Otak bukanlah minda, tetapi otak merupakan sebahagian daripada minda. Tiga komponen minda itu ialah minda sedar (conscious), minda di bawah sedar (unconscious), dan seluruh tubuh. Apa yang tersimpan di dalam minda di bawah sedar akan dilakonkan (express-out) oleh badan kita. Contohnya, jika kepercayaan yang wujud di dalam minda itu satu kepercayaan diri yang positif. Contohnya, keluarga saya bahagia, saya bertuah, saya bijak dan seumpama dengannya, maka postur tubuh akan menunjukkannya. Aura positif itu akan keluar, dan inilah yang dirasai dan dilihat oleh orang yang bersama kita. Bukan setakat itu, realiti yang wujud di sekeliling kita juga adalah seperti yang kita katakan.

Mungkin pernah terdetik di hati para pembaca sekalian, "Betul ke apa yang saya rasakan ini satu kebahagiaan, tetapi mengapa ia tidak cukup menggembirakan?" Jika perkara ini berlaku bermakna harapan yang sering anda fikirkan bercanggah dengan keinginan. Apa yang kita bualkan bersama kawan-kawan tentang ketidakbahagiaan rumahtangga dan kesengsaraan, tanpa kita sedar ataupun tidak tenaganya akan semakin kuat menguasai minda. Maka sebab itulah harapan kita, menjadi tinggal harapan. Semua itu kembali kepada hukum alam, semua makhluk ciptaan Allah tidak dapat lari dari merasainya.

Berbalik kepada persoalan di atas tadi. Setelah saya ceritakan serba sedikit berkenaan latar belakang minda, maka diharap anda dapat mengubah kepercayaan mengenai realiti kehidupan. Seringlah berfikir yang positif dan katakan yang positif pada minda kita, insyaAllah kehidupan yang positif juga akan tercipta. Seterusnya anda dapat menghindarkan kesengsaraan dan beroleh kebahagiaan yang diimpikan.

Jangan Jemu Untuk Melakukan Ini

Cuba anda ambil sekeping kertas, atau lebih. Kemudian anda tulis apa yang anda takutkan, benci atau marah. Tulis semua yang anda tidak puas hati sehingga anda rasa lega. Kemudian koyak-koyakkan kertas tersebut sehingga hancur dan bakar. Nak lebih baik lagi, tanamlah debunya supaya dengan itu akan hilanglah semua perasaan yang sering mengganggu serta menghantui anda selama ini. Mohonlah pada Allah S.W.T. supaya Dia menghilangkan segala kesakitan dan kesengsaraan yang ada pada diri anda. Lakukanlah ini seminggu sekali, atau jika kesakitan itu masih ada dan datang kembali, sehingga ia hilang sedikit demi sedikit.

Tetapkan dalam minda anda bahawa anda juga berhak untuk memiliki dan merasai kebahagiaan, ketenteraman dan kesejahteraan. Kemudian bayangkanlah diri anda dikelilingi dengan rasa cinta, kasih sayang dan kegembiraan. 

Tetapi jika masalah itu timbul daripada pasangan anda, yakinkan pada diri bahawa anda memiliki pasangan, suami/ isteri yang baik, jujur, bertanggungjawab. Gambarkan semua itu terjadi pada diri pasangan. 

Jika anda masih tidak percaya ia akan berlaku, kuatkan lagi gambaran itu di minda dan katakan pada hati dan perasaan bahawa anda berhak untuk mendapat apa yang anda inginkan. Jika anda pandai melukis, lukislah keindahan itu. Jika anda pandai menulis, tulislah tentang kebahagiaan itu. Lakukan setiap hari tulis dan lukis apa yang anda idamkan di dalam kehidupan ini. 

Ya, mungkin saja anda berfikir berjayakah dicapai jika hanya dengan melakukan perkara-perkara ini? Jawapannya hanya diperolehi hanya bila Allah mengatakan 'Kun Fa Ya Kun'. Oleh itu apa yang kita hajatkan hendaklah dipohonkan dengan doa yang BERSUNGGUH-SUNGGUH, di samping BERUSAHA serta BERTAWAKKAL kepadaNya. Kerana semuanya akan kembali kepada ALLAH. Sesungguhnya DIA MAHA PENYAYANG dan MAHA MENGETAHUI segala-galanya.
 

No comments:

Post a Comment