Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts

Saturday, 3 September 2016

3 Tahun Bersama ABDR (Akademi Bekerja Di Rumah)


Teks : Nor Mahsuri Mhd Nordin

Syukur Alhamdulillah, kini telah menjangkau 3 tahun usia saya bersama jemaah ABDR. Ini menandakan bahawa selama 3 tahun juga saya telah menjadi seorang blogger. Tidak pernah saya mimpikan untuk bertahan sehingga kini. Saya akui bukan suatu yang mudah untuk merubah diri, dari seorang yang hanya sekadar menjadi pembaca, sekarang menjadi penulis pula (walaupun bukan sepenuh masa). Faham2 sahaja la, kita ni bukan orang yang berpengalaman dalam dunia blogging. Banyak membaca dan tengok2 blog orang lain ada la. Bila sudah terlanjur mendaftar ke dalam Kelas Asas Blog ni, maka saya gagahkan juga diri untuk menulis walaupun payah untuk mencari waktu lapang bagi menghasilkan sesuatu entri. Sebenarnya saya bukan pandai sangat dalam bab-bab mengarang ni, tetapi untuk mengisi blog saya lakukan juga. Semoga saya diberikan kekuatan untuk terus menulis dan moga memberi manfaat kepada para pembaca.

Selama beberapa tahun menjadi blogger, banyak juga kebaikan yang saya dapati. Pada permulaan dulu, saya hanya berkongsi berkenaan produk2 yang terdapat di ABDR, di samping entri berkaitan pengalaman diri dan catatan harian yang dirasakan sesuai untuk dikongsi dengan para pembaca. Syukur Alhamdulillah, dengan bantuan rakan2 di ABDR, kini jumlah pengunjung ke blog saya semakin meningkat. Setelah selesai tugasan sebanyak 44 entri, saya telah ditawarkan menjadi Rakan Niaga ABDR dengan mengiklankan produk2 yang terdapat di ABDR kerana pada waktu itu saya tidak mempunyai produk sendiri. Dengan peluang yang diberi, ia menjadi salah satu cara untuk saya menambah pendapatan.

Melalui pengalaman yang saya perolehi sebagai Rakan Niaga di ABDR, saya mula menjual produk sendiri di blog (walaupun hanya menjadi ejen). Alhamdulillah, kini dapat menambah pendapatan saya. Lagi pula blog merupakan medium yang paling sesuai dan berkesan untuk memasarkan produk, terutamanya bagi usahawan secara online seperti saya. Mengimbas semula kenangan manis yang pernah saya alami, apabila kali pertama mendapat panggilan daripada seorang pelanggan yang berminat untuk membeli salah satu produk yang saya iklankan di blog iaitu ChoCollagen. Ia berlaku tidak lama setelah saya mempromosikannya di blog. Alhamdulillah, saya tidak menyangka begitu cepat respon dari pembaca yang saya terima. Semua itu adalah faedah yang saya terima dari berblogging.

Setelah itu saya menanamkan azam yang saya akan terus setia dan berusaha menambahkan ilmu dalam dunia blog. Walaupun kadang-kadang tiada idea langsung untuk menulis. Diharapkan semangat ini tidak akan luntur dan terus diberi kekuatan dan mendapat kelapangan waktu untuk menghadirkan entri yang bermanfaat untuk para pembaca. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada pengasas ABDR iaitu Puan Masayu Ahmad yang telah sudi memberi peluang berharga ini kepada saya. Tidak lupa juga kepada guru online saya iaitu Puan Anys Idayu Zakaria (AIZ) yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan mencurahkan ilmu yang sangat berguna. Semoga Allah memberkati usaha kalian semua dalam mencurahkan ilmu dalam dunia blog dan melahirkan insan2 yang berkualiti dalam memperbaiki kehidupan dan menjadikan hidup mereka lebih sempurna. Syukran Jazilan Kathiira.

Saturday, 5 September 2015

Bisnes Doorgift - Choco Desserts

 

 

 
 

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.

Setelah lama menyepi, akhirnya dapat saya kembali menemui anda semula. Kesepian saya itu bukannya kerana saya telah melupakan anda semua. Tetapi, saya kini datang dengan membawa buah tangan terbaru saya untuk anda semua.

Untuk makluman anda, saya kini menjalankan bisnes doorgift dari rumah. Produk yang saya keluarkan adalah berasaskan coklat/ manisaan. Seperti Chocolate Moist Cake, Beryl's Chocolate, Macaroon Kisses, dan yang terbaru Twin Chocolate Dessert. Ia amat sesuai untuk kenduri-kendara, majlis pertunangan, majlis cukur jambul ataupun apa saja majlis. Semua anda boleh dapatkan dari saya.

Untuk doorgift ini saya akan siapkan berdasarkan request pelanggan. Jika ada pelanggan yang mahu kami packing sekali untuk doorgift, kami juga akan sediakan berdasarkan budget yang diingini. Jika pelanggan mahu packing sendiri kami akan hantar secara borong sahaja. Pelanggan boleh packing mengikut citarasa sendiri.

Jika anda berminat, atau untuk maklumat lanjut boleh pm/whatsapp saya di : 017-5240739
E-mail : normahsurinordin@gmail.com
Choco Desserts

Thursday, 18 June 2015

Ayam Sabung Milik Suami











































Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Salam Ramadhan diucapkan kepada semua yang beragama Islam. Hari ni dah masuk hari ke dua kita berpusa. Semoga diberi kekuatan untuk meneruskan ibadah sehingga ke akhir bulan nanti. 

Kok..kok...kok....kooooookkkkk.....pagi-pagi lagi ayam dah berkokok kejutkan tuan rumah untuk bangun bersahur. Hehehe.... Mesti anda tertanya-tanya kan kenapa tiba-tiba saya cerita pasal ayam pulak kan? Sebenarnya saje saya nak cerita tentang hobi suami saya ni.

Encik suami ni memang minat menternak ayam ni. Bukan ayam je, tapi itik angsa pun dia suka bela. Mula-mula dulu dia hanya beli anak ayam kampung je saje suka-suka dalam 10 ekor macam tu. Comel-comel tengok masa kecik tu. Badan bulat-bulat. Hehehe.....Saya pun suka tengok. Beberapa bulan bela semua dah besar-besar. Bila dah besar ayam-ayam ni sampai masa la yang betina bertelur. Masa tu suami kutip telur-telur tu dia tolak di kedai runcit. Memang laku, habis semua dijual. Sejak hari tu dia pun bercita-cita nak ternak ayam kampung.

Beberapa bulan lepas tu suami saya beli pulak anak-anak burung puyuh. Lagi comel-comel, kecik je anak burung puyuh ni. Burung puyuh ni pun sama jugak bila dah besar dan bertelur, dia jual telur burung puyuh tu di kedai runcit. Bila dah makin dewasa ayam-ayam dan burung-burung puyuh tu dia tolak pula kepada penjual ayam untuk disembelih dan dijual ayam yang siap proses. Bila dah habis suami beli pula anak itik dan angsa. Mula-mula dia beli 2 ekor angsa putih, sepasang jantan dan betina. Lepas tu dia beli pula angsa kelabu seekor.Tapi masa kecil tak dapat bezakan jantan dan betina. Bila dah besar baru dapat tengok, rupa-rupanya jantan. Jadi terpaksa la cari pasangannya. Tanya-tanya pada orang akhirnya dapat la cari pasangan angsa kelabu ni. Jadi semua 4 ekor angsa. Dia bela angsa ni bukan untuk dijual, tapi suka-suka je. Selain tu dapat jadikan penjaga rumah, sebab bila ada orang datang angsa-angsa ni mesti bising. Itik-itik pula suami ingatkan itik telur, rupa-rupanya itik air. Jadi semua tak bertelur. Itik-itik tu pun suami jual kepada penjual ayam untuk disembelih dan dijual yang dah siap proses.

Tak lama lepas tu suami minat pulak bela ayam sabung. Dia dapat sepasang daripada kawan yang dia kenal. Lepas tu dia beli lagi sepasang. Mula-mula saje suka-suka. Tak sangka ada orang dapat tahu dan beli sepasang ayam tu. Tinggal la sepasang lagi. Lepas tu dia beli pula ayam sabung betina, dia kata untuk buat baka. Kena cari ayam jantan yang elok sikit untuk jadi pasangannya. Akhirnya dapat juga ayam jantan yang sepadan. Tunggu pula hasilnya nanti. 

Lepas tu dia minat pulak nak bela burung tekukur. Senyap-senyap keluar dari rumah. Balik-balik je dia dah bawak burung tu. Mula-seekor, besoknya dia bawak balik seekor lagi. Saya tengok rumah ni dah macam zoo mini pulak. Macam-mcam ada, tapi tak kisah la sebab suami minat. Lagi pun dia rajin jaga ayam-ayam dan burung-burungnya tu. Walaupun dia sibuk bekerja dan menjaga ternakannya, tanggungjawab kepada keluarga tidak pernah dilupakan.

Kepada sesiapa yang berminat tentang ternakan ayam dan yang seumpama dengannya bolehlah berkongsi pendapat dan pandangan anda di sini. Ataupun anda boleh hubungi no tel ni : 017-5227684/ whatsapp : 017-5240739.


Tuesday, 24 March 2015

Kejayaan Dalam Penjenamaan

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera,

Kepada anda sebagai ibu bapa pasti mula sibuk pada hari ini, kerana anak-anak telah mula bersekolah semula setelah bercuti selama seminggu. Semoga hari cuti yang telah lepas banyak diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah untuk anak-anak, contohnya menghantar mereka ke kelas tuisyen atau ke kem-kem motivasi untuk meningkatkan kekuatan mental dan fizikal mereka. Seterusnya meningkatkan semangat mereka untuk memulakan semula sesi persekolahan nanti. Rutin anda  telah kembali sibuk seperti biasa, bangun pagi untuk menyediakan sarapan, serta menghantar anak-anak ke sekolah sebelum anda pergi ke tempat kerja, kemudian mengambil mereka dari sekolah pada waktu tengahari. Begitulah kebiasaannya bagi mereka yang mempunyai anak yang masih bersekolah.

Berbeza pula dengan rutin saya yang mempunyai anak-anak yang masih kecil, setiap hari saya hanya perlu menjaga dan melayan mereka di rumah. Sementara itu saya akan menjalankan kerja-kerja di rumah seperti kebanyakan suri rumah yang lain. Mungkin tidak sesibuk seperti ibu yang bekerjaya, tetapi tanggungjawab tetap perlu dilaksanakan. Itulah pengalaman saya semenjak menjadi suri rumah sepenuh masa. Di samping itu saya juga menjalankan bisnes part time dengan menjadi pengedar kepada produk Coklat Minda Hijrah. Dapat juga saya mengisi masa terluang dan menambah pendapatan sedikit. Walaupun tidak seperti dahulu ketika saya bekerja dan gaji masuk setiap bulan. 

Pada mulanya saya tertarik dengan jenama Coklat Minda Hijrah kerana ia mempunyai satu produk yang diberi nama Mama Milky. Ia adalah coklat yang sedia dimakan yang berfungsi untuk menambahkan susu badan, kerana pada masa itu saya masih menyusukan anak dengan susu badan sepenuhnya. Ternyata ia berkesan, dan akhirnya saya berminat untuk menjadi salah seorang pengedar. Terdapat satu lagi produk yang saya berikan untuk anak saya, iaitu Coklat Minda yang boleh meningkatkan kecerdasan minda anak saya. Terdapat juga produk-produk yang lain seperti Cho Collagen dan Choc Mirifica yang mempunyai kebaikan tersendiri. Menurut saya ini adalah kejayaan jenama Coklat Minda Hijrah kerana telah bejaya menarik kepercayaan saya untuk menggunakan jenama ini.

Bercerita mengenai jenama ini, rasanya ada satu syarikat yang pasti anda telah mengenalinya yang menarik untuk kita bincangkan di sini. Syarikat ini kini telah semakin maju dan meninggalkan pesaing-pesaingnya dalam industri yang sama jauh di belakang dengan menggunakan formula yang biasa dan tidak popular pun. Tentu anda ingin tahu apa rahsianya? Jawapannya adalah syarikat ini menggunakan penjenamaan. Syarikat ini menggunakan penjenamaan dengan cara yang sangat luar biasa. Apakah nama syarikat ini? Ya, pemilik nama yang hebat dan juga dikenali sebagai Air Asia! Haaa, anda mesti dah kenal bukan. Syarikat yang bermula pada tahun 2001 ini, pada awalnya hanya bernilai RM1.00, menanggung hutang yang banyak iaitu berjumlah RM40 juta, memiliki aset hanya dua buah kapal terbang terpakai iaitu Boeing 737-300, hanya terbang ke satu destinasi sahaja, dalam setahun menerbangkan 250,000 penumpang, dan juga memiliki seramai 250 orang pekerja sahaja. Selama 9 tahun operasinya, Air Asia telah berjaya memiliki aset bernilai hampir RM4 billion, dengan mendapat keuntungan RM549 juta, mempunyai lebih 85 buah pesawat Airbus A320 dan A330, terbang melalui lebih 130 laluan ke 70 destinasi di seluruh dunia, membawa lebih 20 juta orang penumpang dalam setahun dan kini pekerja telah bertambah menjadi sehingga lebih dari 8,000 orang di Malaysia, Thailand dan Indonesia. Apa yang lebih menakjubkan lagi, kini Air Asia telah mampu bersaing dengan syarikat-syarikat yang bertaraf antarabangsa yang lebih lama beroperasi daripadanya seperti Malaysia Airline System (MAS), Singapore Airlines (SIA) dan Cathay Pacific. Sehingga pada satu tahap Air Asia telah membeli saham MAS yang pada ketika itu dalam keadaan hampir muflis.

Apa sebenarnya rahsia kejayaan Air Asia?

Penjenamaan

Apabila kita perhatikan pada badan pesawat Air Asia pasti kita dapat melihat laman web syarikat tersebut. Begitu juga telah banyak acara sukan tidak kira tempatan ataupun antarabangsa yang telah ditaja oleh Air Asia. Kuncinya ada pada CEOnya sendiri, iaitu Tony Fernandes, yang mana beliau tetap mempromosikan dirinya sendiri dan syarikat dengan caranya sendiri, iaitu memakai topi berwarna merah, iaitu warna rasmi Air Asia ke mana sahaja beliau pergi. Semua ini mungkin bagi anda adalah perkara biasa, tetapi ia adalah strategi yang berkesan jika dilaksanakan. 

Adakah anda tahu bahawa dengan penjenamaan juga dapat menjimatkan kos? Sebagai contoh, seperti syarikat pengeluar produk komputer terkenal iaitu Hewlet Packard (HP), beberapa tahun yang lalu mereka telah mencari cara yang paling berkesan untuk mengurangkan kos dalam pengeluaran produk syarikat mereka. Pada satu tahap, mereka hanya menggunakan kaedah asas sahaja, iaitu mengubah kotak yang digunakan untuk membungkus produk keluaran mereka. Memang tidak dapat dinafikan lagi kekuatan jenama HP di pasaran dan juga kepada para pengguna dan pelanggan. Walaupun berlaku perubahan dalam pembungkusan, pelanggan tetap akan membeli dan menggunakan produk HP kerana kualitinya, malah mereka tidak pernah mempertikaikan mengapa bungkusan perlu diubah. HP mengubah kotak yang sebelum ini berwana-warni kepada kotak biasa yang berwarna coklat dengan logo HP yang ringkas. Mereka mendapat kesan yang sungguh mengagumkan atas usaha mereka beberapa tahun yang dahulu, mereka dapat menjimatkan sehingga beberapa juta dolar yang sebelum ini digunakan untuk iklan promosi produk yang penuh berwarna-warni yang pada awalnya untuk menarik perhatian pelanggan. Idea yang boleh dikatakan sungguh bijak. 

Kelebihan yang banyak semestinya dimiliki oleh syarikat-syarikat yang besar jika dibandingkan dengan perniagaan yang kecil kerana mereka memiliki lebih banyak sumber dan tenaga pekerja yang ramai. Tetapi faktor ini tidak dapat membuatkan pelanggan merasa mempunyai hubungan atau dekat dengan syarikat tersebut. Oleh itu, mereka menguatkan syarikat dengan penjenamaan supaya pelanggan akan merasa dekat dan mudah mengingati syarikat berkenaan. 

Para peniaga sekalian, mulakanlah penjenamaan anda walau dengan cara apa sekali pun, dan contohilah mereka yang telah berjaya. 


Wednesday, 3 December 2014

Cinta Kebahagiaan atau Kesengsaraan?



Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.

Seringkali kita bertanya pada diri adakah kita mencintai untuk merasa bahagia atau kesengsaraan? 

Jika anda membaca soalan ini pasti anda merasa pelik, soalan jenis apa ni? Kalau dah namanya cinta mestilah inginkan kebahagiaan dan kehidupan yang sejahtera! Itulah yang sering kita inginkan, betul tak? 

Memang kedengaran pelik kerana kita mencintai untuk kebahagiaan, kesejahteraan, kedamaian. Tapi realitinya adakah semuanya berlaku seperti apa yang kita mahukan. Ada setengahnya yang benar-benar memperolehi kebahagiaan itu, namun ada pula yang setengahnya tidak seindah yang diimpikan, seolah-olah cinta yang tidak kesampaian.

Cuba anda bertanya dengan jujur pada diri sendiri, adakah anda yakin dengan cinta anda akan beroleh kebahagiaan? Atau anda hanya mahukannya, tetapi ianya tidak pernah terjadi? Atau yang paling dahsyat anda tidak pernah berfikir langsung untuk memilikinya, maka anda membiarkan sahaja diri anda mengikut arus kehidupan.

Imam Al-Ghazali telah berkata bahawa : "Apabila tercetus niat yang kuat di dalam hati (dunia metafizik-ghaib), maka satu molekul akan terbentuk di dalam dunia fizikal. Lama-kelamaan, niat itu akan menjadi realiti.

Cerdik pandai pula mengatakan : "Berhati-hatilah dengan pemikiran (niat) kamu kerana ia akan menjadi perkataan kamu. Berhati-hati dengan perkataan kamu kerana ia akan menjadi perbuatan kamu. Berhati-hati dengan perbuatan kamu kerana ia akan menjadi tabiat kamu. Berhati-hatilah dengan tabiat kamu kerana ia akan menjadi peribadi kamu. Berhati-hati dengan peribadi kamu kerana ia akan menentukan akhir nasib hidup kamu, sama ada kegembiraan atau kesedihan.

Menurut Dr. Thurman Fleet pula, kita mempunyai satu minda yang terbahagi kepada tiga komponen. Otak bukanlah minda, tetapi otak merupakan sebahagian daripada minda. Tiga komponen minda itu ialah minda sedar (conscious), minda di bawah sedar (unconscious), dan seluruh tubuh. Apa yang tersimpan di dalam minda di bawah sedar akan dilakonkan (express-out) oleh badan kita. Contohnya, jika kepercayaan yang wujud di dalam minda itu satu kepercayaan diri yang positif. Contohnya, keluarga saya bahagia, saya bertuah, saya bijak dan seumpama dengannya, maka postur tubuh akan menunjukkannya. Aura positif itu akan keluar, dan inilah yang dirasai dan dilihat oleh orang yang bersama kita. Bukan setakat itu, realiti yang wujud di sekeliling kita juga adalah seperti yang kita katakan.

Mungkin pernah terdetik di hati para pembaca sekalian, "Betul ke apa yang saya rasakan ini satu kebahagiaan, tetapi mengapa ia tidak cukup menggembirakan?" Jika perkara ini berlaku bermakna harapan yang sering anda fikirkan bercanggah dengan keinginan. Apa yang kita bualkan bersama kawan-kawan tentang ketidakbahagiaan rumahtangga dan kesengsaraan, tanpa kita sedar ataupun tidak tenaganya akan semakin kuat menguasai minda. Maka sebab itulah harapan kita, menjadi tinggal harapan. Semua itu kembali kepada hukum alam, semua makhluk ciptaan Allah tidak dapat lari dari merasainya.

Berbalik kepada persoalan di atas tadi. Setelah saya ceritakan serba sedikit berkenaan latar belakang minda, maka diharap anda dapat mengubah kepercayaan mengenai realiti kehidupan. Seringlah berfikir yang positif dan katakan yang positif pada minda kita, insyaAllah kehidupan yang positif juga akan tercipta. Seterusnya anda dapat menghindarkan kesengsaraan dan beroleh kebahagiaan yang diimpikan.

Jangan Jemu Untuk Melakukan Ini

Cuba anda ambil sekeping kertas, atau lebih. Kemudian anda tulis apa yang anda takutkan, benci atau marah. Tulis semua yang anda tidak puas hati sehingga anda rasa lega. Kemudian koyak-koyakkan kertas tersebut sehingga hancur dan bakar. Nak lebih baik lagi, tanamlah debunya supaya dengan itu akan hilanglah semua perasaan yang sering mengganggu serta menghantui anda selama ini. Mohonlah pada Allah S.W.T. supaya Dia menghilangkan segala kesakitan dan kesengsaraan yang ada pada diri anda. Lakukanlah ini seminggu sekali, atau jika kesakitan itu masih ada dan datang kembali, sehingga ia hilang sedikit demi sedikit.

Tetapkan dalam minda anda bahawa anda juga berhak untuk memiliki dan merasai kebahagiaan, ketenteraman dan kesejahteraan. Kemudian bayangkanlah diri anda dikelilingi dengan rasa cinta, kasih sayang dan kegembiraan. 

Tetapi jika masalah itu timbul daripada pasangan anda, yakinkan pada diri bahawa anda memiliki pasangan, suami/ isteri yang baik, jujur, bertanggungjawab. Gambarkan semua itu terjadi pada diri pasangan. 

Jika anda masih tidak percaya ia akan berlaku, kuatkan lagi gambaran itu di minda dan katakan pada hati dan perasaan bahawa anda berhak untuk mendapat apa yang anda inginkan. Jika anda pandai melukis, lukislah keindahan itu. Jika anda pandai menulis, tulislah tentang kebahagiaan itu. Lakukan setiap hari tulis dan lukis apa yang anda idamkan di dalam kehidupan ini. 

Ya, mungkin saja anda berfikir berjayakah dicapai jika hanya dengan melakukan perkara-perkara ini? Jawapannya hanya diperolehi hanya bila Allah mengatakan 'Kun Fa Ya Kun'. Oleh itu apa yang kita hajatkan hendaklah dipohonkan dengan doa yang BERSUNGGUH-SUNGGUH, di samping BERUSAHA serta BERTAWAKKAL kepadaNya. Kerana semuanya akan kembali kepada ALLAH. Sesungguhnya DIA MAHA PENYAYANG dan MAHA MENGETAHUI segala-galanya.
 

Thursday, 6 November 2014

Waktu Berpantang


Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.

Salam hari Khamis, 6 November 2014 bersamaan dengan 13 Muharram 1436H. Salam Maal Hijrah. Menghitung hari-hari terakhir di tahun 2014 dan memulakan hari-hari baru dalam tahun baru Islam. Semoga segalanya bermula dengan baik serta bertambah baik lagi dengan adanya perkara-perkara baru dan meninggalkan yang lama untuk dijadikan sebagai kenangan dan juga pemandu untuk kita memperbaiki diri.

Teringat kenangan ketika waktu berpantang dahulu. Selepas bersalin di hospital saya terus pulang ke kampung ibu saya untuk berpantang di sana kerana ibu lebih arif tentang cara-cara berpantang ni. Lagi pula jika saya berpantang di rumah sendiri tiada siapa yang akan menjaga saya, malah suami pun tidak tahu apa yang perlu dilakukan memandangkan ini pengalaman pertama mendapat cahaya mata. 

Seperti kebiasaan orang berpantang, bermacam-macam perkara kita tidak boleh lakukan dan berehat sekejap daripada melakukannya, seperti menjaga pemakanan, tidak melakukan kerja-kerja berat. Waktu itu juga saya menjalankan rutin harian dengan memakan jamu yang telah dibuat sendiri oleh penduduk kampung, berpilis, berbengkung, bertungku dan berurut. Semuanya telah ibu sediakan sebelum saya balik berpantang, dan tukang urut juga telah dibooking awal kerana takut tidak mendapat tukang urut yang lain. Ye la zaman sekarang ni jarang kita jumpa tukang urut tradisional, kalau ada pun semuanya sudah berumur dan ada yang sudah bersara. Jika tidak terpaksa pergi berurut di spa atau tukang urut moden.

Mengapa kita perlu berpantang? Perkara ini dilakukan untuk memulihkan semula tubuh dan merawat dalaman terutama setelah melahirkan anak atau sekiranya berlaku keguguran. Sepanjang proses kehamilan dan seterusnya sewaktu melahirkan tubuh kita sedikit sebanyak akan terjejas dan juga kecantikan tubuh kita akan berubah terutamanya pada bahagian intim. Oleh itu kita harus melakukan kesemua amalan orang berpantang seperti memakan jamu yang semestinya mempunyai kandungan yang berkhasiat dan boleh memulihkan bahagian dalaman wanita. Begitu juga dengan berurut dapat mengembalikan semula bentuk tubuh serta menegangkan semula bahagian yang kendur. Jadi tubuh kita akan dapat kembali sihat dan segar, serta dapat menjadi cergas semula untuk melakukan tugas-tugas lain seperti sedia kala.

Jika menyebut tentang jamu, pasti ramai yang terbayang dengan warnanya yang tidak menarik, bau yang tidak menyelerekan, dan rasanya yang pahit. Tetapi anda mesti tahu bahawa banyak khasiat yang terkandung di dalam jamu tersebut. Sekarang anda tidak susah untuk memakan jamu kerana telah banyak terdapat pelbagai jenis jamu di pasaran, dan mudah untuk anda menelannya kerana ia telah dikapsulkan, jadi anda tidak akan terasa kepahitan jamu tersebut.

Ramuan di dalam jamu adalah terdiri daripada herba-herba yang dikatakan mempunyai seribu khasiat untuk mengembalikan kesihatan dalaman wanita. Di antaranya adalah buah manjakani yang digunakan sebagai salah satu bahan di dalam produk kecantikan untuk wanita. Apakah khasiat buah manjakani ini? Marilah sama-sama kita lihat kebaikannya.

Menghilangkan Bau Yang Tidak Menyenangkan

Anda hanya perlu menggunakan bahan semulajadi dan tidak perlu mengeluarkan belanja yang banyak. Gunakan ramuan ini untuk mencuci bahagian intim wanita. Mudah sahaja, ambil 10 biji buah manjakani dan rebus sehingga mendidih. Kemudian biarkan ia menjadi suam dan simpan di dalam bekas atau botol yang bersih. Setiap kali anda mencuci vagina gunakannya seperti sabun. Dengan melakukannya setiap hari ia dapat mengatasi masalah keputihan, menghilangkan bau yang kurang enak dan pastinya anda akan mendapat vagina yang bersih dan sihat. Sebaiknya gunakan air rebusan itu selama 3 hari sahaja, selepas itu anda perlu membuat air rebusan yang baru bagi menjamin khasiatnya dan juga kesegarannya.

Memulihkan Kesihatan Dalaman Wanita

Makanlah buah manjakani setiap hari. Caranya ambil sebiji buah manjakani dan masukkan ke dalam nasi yang sedang mendidih. Apabila nasi sudah kering, ambil buah manjakani dan potong kecil-kecil sementara ia masih lembut. Makanlah dengan nasi panas tadi seperti memakan ulam. Makan sedikit-sedikit kerana rasa buah manjakani sangat pahit. 

Melambatkan Penuaan

Rebus 2 hingga 3 biji buah manjakani sehingga mendidih. Biarkan ia suam dan minum air rebusan ini setiap pagi. Anda akan menjadi awet muda dan tubuh akan menjadi bertenaga. Air rebusan ini juga dapat menguatkan otot vagina serta menjadikan tubuh kelihatan langsing. Amalkan meminum 1/2 cawan air rebusan ini setiap hari. Anda pasti akan teruja melihat hasilnya nanti.

Menyembuhkan Luka Jahitan

Bagi sesiapa yang baru melahirkan anak pasti akan terdapat luka jahitan. Buah manjakani boleh digunakan untuk menyembuhkan luka tersebut. Caranya dengan mengasah sebiji buah manjakani pada belakang pasu, kemudian sapu pada bahagian luka. InsyaAllah luka tersebut akan semakin baik dan vagina menjadi semakin mantap.

Sumber : Mingguan Wanita
mingguanwanita.karangkraf.com




Wednesday, 15 October 2014

My 1st Baby

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.



Inilah wajah anak sulung saya yang diberi nama Muhammad Daniel Awatif. Mengingatkan semula pengalaman sewaktu melahirkannya, walaupun melalui pembedahan (caesar), bukan bersalin normal. Dengan berat 2.91kg dan dilahirkan pada 15.12.2011. Rasa berdebar-debar sewaktu menanti kelahirannya, sewaktu di dalam bilik bedah, saya masih dapat melihat doktor yang melakukan pembedahan kerana saya dibius separuh badan. Dalam masa lebih kurang setengah jam, akhirnya saya dapat mendengar tangisan bayi yang telah selamat dikeluarkan. Terasa lega kerana telah selamat, hanya menunggu masa untuk keluar dari bilik tersebut, sementara doktor menjahit semula perut saya. Saya tidak kisah semua itu lagi, yang saya mahu untuk segera bertemu dengan baby saya.

Mengapa saya tidak boleh melahirkan secara normal? Itu disebabkan saya mengalami kadar gula yang tinggi sewaktu mengandung (boleh dikatakan seperti penghidap kencing manis). Saya perlu mengikuti diet pemakanan yang diberikan oleh doktor untuk mengawal kadar gula dalam darah, supaya tidak mendatangkan kesan buruk am baby. Dalam saya mengawal pemkanan tersebut, pada minggu-minggu akhir didapati baby saya tidak berpusing dengan normal disebabkan baby besar di dalam perut. Disebabkan itulah baby saya menjadi songsang, maka dia tidak boleh dilahirkan secara normal.

Namun saya tetap bersyukur kerana dikurniakan rezeki ini. Setelah mengalami keguguran pada kandungan pertama saya, Allah masih memberi peluang untuk saya memiliki zuriat saya sendiri. Kini dia telah berumur 2 tahun 10 bulan. Alhamdulillah dia telah membesar menjadi anak yang sihat dan ceria, walaupun pernah menjalani pembedahan ketika berusia 9 bulan. Kini saya merasa gembira dapat melihat dia sentiasa berada di hadapan mata, dan menghabiskan masa melayan kerenahnya,.Ini kerana sewaktu kecilnya dia membesar di rumah pengasuh, sedangkan waktu itu saya perlu bekerja.

Sekarang saya dapat mengurus rumah tangga dengan sempurna, di samping melayan baby saya yang pertama ini (Blog Bisnes Online Suri Bekerjaya). Baby yang saya lahirkan setelah bertemu jodoh dengan Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR), dengan pengasasnya Pn. Masayu Ahmad. Saya dibimbing oleh Pn. Anys Idayu Zakaria, Guru Online Kelas Asas Blog Fanpage. Dengan lahirnya blog ini yang kini berusia 3 bulan, dan masih belum habis pantang, saya berusaha untuk membelai dan memeliharanya dengan sebaik mungkin seperti saya menjaga anak saya sendiri. 

Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dan doakan saya dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan supaya saya dapat menjaganya selagi hayat dikandung badan. Amiiin...Sekian, wassalam.

Saturday, 26 July 2014

Tugas Hakiki (Kini)

Assalamualaikum....

Sambungan kisah hidupku, setelah mengalami peristiwa hampir kehilangan anak pertama kami, saya mula merancang untuk berhenti kerja dan menjaga anak kami sepenuh masa. Kebetulan setelah 2 tahun bekerja di Perak, cawangan pejabat kami akan ditutup kerana hendak mengurangkan bajet pengurusan. Maka pihak pentadbiran menukarkan staf yang berada di cawangan kembali ke ibu pejabat di Kuala Lumpur. Maka semakin jauh dan semakin sukar saya hendak berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kedah bersama seorang anak kami. 

Akhirnya pada penghujung tahun 2013, saya mengambil keputusan untuk meletak jawatan dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Kini saya tinggal bersama suami dan anak kami di Kedah. Suami berasa lega dengan keputusan saya itu kerana dia tidak perlu risau akan berlaku masalah seperti anak sakit dan sebagainya. Sekarang jika berlaku sebarang masalah semuanya telah berada di depan mata, dan mudah untuk kami berbincang. Malah saya pun berasa lebih tenang dan tidak perlu risau untuk mencari pengasuh menjaga anak kami ketika saya bekerja. Memandangkan kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur, dengan gaji yang tak seberapa, saya rasa tidak cukup untuk perbelanjaan saya ketika itu.

Walaupun saya telah menjadi suri rumah sepenuh masa, saya tidak mahu duduk goyang kaki sahaja. Di samping menjaga anak dan menguruskan rumahtangga saya mula menjadi pengedar untuk produk Coklat Minda Hijrah. Suami dan keluarga memberi sokongan penuh dan membantu saya dalam mendapatkan stok barang. Pelanggan pertama adalah ahli keluarga saya sendiri, dan menjadi testimoni yang pertama. Saya juga mencuba produk tersebut untuk diri sendiri dan anak saya. Ternyata rasanya memang sedap seperti coklat yang terdapat di pasaran. Kesannya juga dapat dilihat apabila anak saya memakan coklat minda, dia yang sebelum ini belum boleh bercakap telah mula menyebut pekataan-perkataan dengan jelas. Saya akan meneruskan memberi anak saya makan coklat minda dan akan terus melihat pekembangannya. Ibu saya juga telah mencuba CoChollagen, iaitu salah satu produk coklat minda. Setelah mencuba produk tersebut, kulitnya yang sebelum ini kelihatan kusam telah nampak sedikit perubahan.

Jika sebelum ini saya tidak pernah mengiklankan produk tersebut. Setelah menyertai Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) dan belajar membuat blog, saya mula mengiklankan produk tersebut untuk pengetahuan umum. Walaupun saya tahu ramai di luar sana yang telah mengetahui berkenaan produk tersebut. Di sini saya ingin uar-uarkan berkenaan kebaikan produk coklat minda.



Coklat Minda No. 1 di Malaysia
SEDAP . MUDAH . BERKESAN

60 biji untuk 1 bulan

COKLAT SEDIA UNTUK DIMAKAN
Tidak perlu bancuhan air

facebook.com/CoklatMinda


Apa itu Coklat Minda?

Coklat Minda Hijrah adalah coklat berfungsi gabungan coklat sebenar dengan bahan-bahan makanan berzat untuk minda anda. Coklat Minda Hijrah datang dalam bentuk coklat yang sedap, sedia dimakan serta tidak perlu bancuhan air.

Kebaikan Coklat Minda?
  1. Meningkatkan dan menguatkan daya ingatan
  2. Mengembalikan semangat dan tenaga
  3. Mengatasi tekanan (Stress)
  4. Menambah daya kreativiti
  5. Mengekang perasaan mudah putus asa
  6. Mempertingkatkan fokus dan tumpuan
  7. Mengatasi perasaan rendah diri

Khasiat dalam ramuan Coklat Minda Hijrah
  • Koko
  • Susu Kuda
  • Gotu Kola (Pegaga)
  • Kacang Soya

Jika berminat boleh Tel/SMS : 017-5240739 (Nor Mahsuri)
e-mail : normahsurinordin@gmail.com
(Pengedar Produk Coklat Minda Hijrah)

Friday, 18 July 2014

Ceritaku....

Memang sejak dari dulu saya bercita-cita nak jadi cikgu, dan pernah menjadi cikgu sementara, tetapi cita-citaku itu tidak sampai ke akhir kerana telah menukar bidang kerjaya. Ibu saya memang menggalakkan supaya saya menjadi cikgu kerana pada pandangannya masa depan saya akan lebih terjamin. Mungkin rezeki saya bukan ke arah itu. Segalanya berubah setelah saya mengikuti kursus Perkeranian dan Kesetiausahaan di sebuah Institusi swasta. Selepas menamatkan kursus tersebut dan menjalani Praktikal di sebuah Jabatan Bukan Kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur, saya telah ditawarkan untuk mengisi kekosongan di Jabatan tersebut. Alhamdulillah setelah mengikuti temuduga untuk memenuhi prosedur, permohonan saya telah diterima dan saya memegang jawatan sebagai seorang Pembantu Tadbir di Unit Pembangunan Modul. 

Itulah pengalaman pertama saya bekerja di pejabat. Di dalam unit itu kami bertugas untuk membangunkan modul bagi setiap bahagian di dalam Sektor Operasi. Sektor Operasi ini sentiasa menjalankan program-program berbentuk seminar, motivasi dan juga aktiviti-aktiviti sosial bersama masyarakat di luar. Jadi modul yang dibangunkan hendaklah bersesuaian dengan setiap audien atau peserta kursus yang akan dijalankan dalam program nanti. 

Biasanya bahagian-bahagian di dalam Sektor Operasi akan membuat permohonan terlebih dahulu dengan menyertakan kertas kerja program sekurang-kurangnya sebulan awal supaya kami dapat menyediakan modul yang dikehendaki. Setelah modul siap disediakan perbincangan akan diadakan bersama Bahagian yang memohon untuk menilai sama ada modul tersebut sesuai untuk dilaksanakan. Sekiranya terdapat persetujuan bersama maka modul tersebut akan dilaksanakan di dalam program nanti sebagai ujikaji. Sepanjang program dijalankan audien akan diberikan borang penilaian untuk menilai sama ada modul tersebut berjaya. Setelah habis program, penilaian daripada peserta akan dilihat sama ada memuaskan atau tidak. Jika tidak memuaskan perbincangan akan diadakan sekali lagi untuk menambah baik modul tersebut. Kemudian ujikaji akan dijalankan sekali lagi dengan mengadakan program yang lain pula dengan audien yang berbeza. 

Begitulah seterusnya dalam setiap program penialaian dan perubahan akan dibuat terhadap modul tersebut sehingga ia benar-benar memuaskan hati semua pihak. Kemudian modul yang telah sempurna akan dipatenkan dan disimpan sebagai fail simpanan, dan kemudian sekiranya terdapat Bahagian-bahagian lain yang ingin menggunakannya, mereka perlu membuat permohonan agar modul tersebut terpelihara. Kemudian kami akan menilai pula sebanyak mana modul tersebut digunakan. Di samping itu modul-modul yang lain juga turut dibangunkan, jadi terdapat banyak pilihan modul yang dapat digunakan mengikut kesesuaian.

Itulah serba sedikit kisah pengalaman bekerja saya. Walaupun peranan saya hanyalah pembantu tetapi, ia memberi pengalaman yang berguna untuk saya. Diharap dengan pengalaman tersebut dapat saya menggunakannya untuk diri saya suatu masa nanti. Begitulah kisah diri saya yang diberi nama Nor Mahsuri Binti Mhd Nordin. Nama yang diberikan oleh ayah dan ibu saya. Saya dibersarkan bersama-sama 6 orang adik saya yang lain, dan saya adalah anak sulung. Saya dilahirkan di Selangor tempat asal ibu bapa saya. Kehidupan kami adalah sederhana tetapi bahagia. Ibu bapa saya tidak kisah apa pekerjaan saya asalkan saya gembira dn suka dengan apa yang saya buat. Mereka juga sering mendoakan kejayaan saya. Alhamdulillah dengan didikan yang diberikan oleh mereka kini saya menjadi insan yang berguna dan dapat memberi khidmat kepada rakyat. 

Kini saya telah mendapat jawatan tetap sebagai Pengurus Rumah Tangga sepenuh masa. Setelah bertemu jodoh dengan suami saya yang berasal daripada Perak. Beliau merupakan usahawan persendirian secara kecil-kecilan. Setelah berkahwin saya masih lagi bekerja di Jabatan yang sama dan kami tinggal berjauhan, saya di Kuala Lumpur dan suami di Kedah, kerana dia bekerja di sana. Ketika itu saya berulang-alik dari KL ke Kedah dalam dua minggu sekali. Maklum la dah jadi isteri kena jugak tunaikan tanggungjawab. Nasib baik la suami faham kerja saya. Setelah enam bulan berkahwin saya mendapat berita gembira apabila disahkan mengandung anak pertama, begitu juga suami. Beliau berpesan supaya sentiasa menjaga diri dan kandungan. Tapi apa kan daya kegembiraan tidak berpanjangan apabila saya mengalami keguguran. Mungkin disebabkan saya terlampau letih kerana saya pergi bekerja dengan menaiki komuter dan perlu berjalan kaki untuk ke tempat kerja. Mungkin juga kandungan saya masih belum kuat. Kami merasa sedih, tetapi suami tetap memberikan semangat dengan mengatakan mungkin masih belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata. Kami boleh mencuba sekali lagi, dan dalam masa yang sama suami meminta saya untuk bertukar tempat kerja yang lebih dekat dengannya. 

Kebetulan pada masa itu pejabat telah membuka cawangan baru di Perak, jadi saya memohon untuk ditukarkan ke sana kerana lebih dekat sedikit dengan suami. Alhamdulillah saya mendapat pertukaran walaupun lama juga menunggu permohonan diluluskan, kerana menunggu pengganti untuk mengisi kekosongan jawatan saya yang akan saya tinggalkan. Perjalanan untuk berulang-alik dari Perak ke Kedah tidaklah jauh sangat, lebih kurang 2 jam, jika nak dibandingkan dari KL ke Kedah, boleh katakan 4 ke 5 jam jugak tu. 

Setelah beberapa bulan bekerja di situ sekali lagi saya disahkan mengandung. Kali ini alhamdulillah kami dikurniakan seorang putera yang comel. Tetapi setelah bekerja semula saya tidak dapat menjaganya sendiri dan terpaksa menghantar ke rumah pengasuh. Pada suatu hari pengasuh memaklumkan anak saya diserang demam panas. Sejak dari hari itu saya tidak mengetahui bahawa anak saya telah dijangkiti kuman di otaknya. Kami menyedarinya apabila anak kami berumur 9 bulan. Pada waktu itu anak saya asyik menangis sahaja, dan demam yang berpanjangan serta tidak sembuh-sembuh walaupun sudah beberapa kali pergi ke klinik untuk mengambil ubat. 

Akhirnya kami membawanya ke hospital. Apabila doktor memeriksanya, akhirnya doktor memaklumkan anak kami terpaksa ditahan di wad kerana doktor mengesyaki terdapat jangkitan kuman. Setelah seminggu berada di Hospital, ketika itu Hospital Besar Ipoh, doktor telah menjalankan ujian pada darah dan air kencing, tetapi tidak terdapat kuman pada kedua-duanya. Doktor juga memeriksa jantung, paru-paru, hati, buah pinggang dan semua organ, tetapi masih tidak menemui punca mengapa demamnya tidak sembuh-sembuh. Akhirnya doktor menyarankan agar diambil air dari tulang belakangnya. Kami tidak dapat memberi keputusan kerana bimbang akan keselamatan anak kami. Kami meminta pendapat daripada ahli keluarga yang lain berkenaan perkara tersebut. Kebanyakkan mereka tidak bersetuju untuk mengambil air tulang belakang kerana bimbang risiko pada masa hadapan. Jadi kami mengambil keputusan untuk meneruskan rawatan di Putra Medical Centre, Kedah setelah disarankan oleh kakak suami. 

Di hospital itu doktor membuat  MRI dan x-ray. Setelah melihat x-ray tersebut barulah doktor menemui puncanya. Rupa-rupanya kuman tersebut telah merebak di bahagian otak sebelah kanan anak saya, dan ia berupa nanah yang menyelaputi bahagian luar otak. Doktor memaklumkan pembedahan perlu dilakukan segera atau anak kami akan mengalami kecacatan kekal seumur hidup. Pada waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya, setelah doktor menerangkan risiko sewaktu pembedahan mungkin akan berlaku kehilangan darah yang banyak dan mungkin akan menyebabkan kehilangan nyawa. Tetapi kami menyerahkan semuanya kepada Allah Taala. Kami tetap mahu meneruskan pembedahan tersebut untuk melihat anak kami sembuh. Walau apa pun yang berlaku kita tetap perlu berusaha, Allah yang menentukan segalanya. Sewaktu pembedahan dijalankan kami hanya berdoa dan bertawakkal agar semuanya selamat. Dengan sabar menanti di hadapan bilik pembedahan yang berlangsung selama 4 jam, akhirnya semua telah selamat. Tetapi kami masih tidak dibenarkan untuk melihatnya kerana keadaannya masih belum stabil.

Akhirnya kami dibenarkan untuk melihat anak kami. Sayu hati kami melihat keadaannya yang masih tidak sedarkan diri dengan bermacam-macam alat disambungkan ke badannya. Doktor memaklumkan dia akan berada dalam keadaan begitu selama beberapa hari kerana doktor memberinya ubat tidur dan ubat penahan sakit agar dia tidak banyak bergerak selepas pembedahan. Kami tidak sabar untuk melihatnya membuka mata. Akhirnya dia membuka mata jua dan apabila terlihat kami, dia terus menangis kerana ingin didukung. Saya menangis kegembiraan kerana tahu anak kami masih mengenali kami walaupun setelah dibedah. Tetapi dalam masa yang sama sedih kerana tidak dapat mendukung dan memeluknya. Kami terpaksa berada di hospital selama lebih kurang 3 bulan untuk menjaga anak kami sehingga dia betul-betul sembuh. Setiap hari doktor akan datang memeriksa untuk melihat perkembangannya. Hospital tu boleh dikatakan macam rumah kami selama 3 bulan dan anak kami juga membesar di hospital, sehingga dia pandai berjalan di situ. Suami hanya balik sekali-sekala untuk mengambil barang-barang seperti pakaian dan sebagainya. Saya merasa amat bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk bersama dengan anak kami, permata hati kami. Saya tidak tahu bagaimana rasanya jika kehilangannya pada masa itu. Saya berharap anak kami akan terus diberikan kesihatan dan membesar menjadi anak yang soleh. Amiiiin....


Permata Hatiku ....Muhammad Daniel Awatif
Ibu sayang kamu sangat-sangat.....!!!

Tuesday, 15 July 2014

Cita-Cita Saya?

Assalamualaikum...

Apa khabar semua? Diharap semua sihat la ye. Saya ni bukan ada cerita menarik pun masa kanak-kanak dulu. Maklum la saya ni seorang yang pendiam. Jadi tak banyak yang saya boleh cerita. Bukan cerita klasik atau cerita dongeng tau, tapi kenyataan. 

Cakap pasal cita-cita ni, sejak dari zaman sekolah lagi saya bercita-cita untuk menjadi guru. Itulah yang saya ulang-ulang dalam fikiran bila besar nak jadi cikgu, nak ajar budak-budak. Nampak macam mudah je kan kerja jadi cikgu ni. Sebab apa saya minat sangat nak jadi cikgu ni? Sebenarnya mak dan ayah saya bekerja sebagai cikgu. Sejak saya bersekolah saya pernah juga diajar oleh ibu saya sebab dia juga salah seorang guru di kelas saya. Saya berminat melihat cara ibu mengajar murid-murid dengan penuh kasih sayang dan begitu jelas penerangan yang diberikan ketika mengajar. Sehingga pelajar-pelajarnya ramai yang telah berjaya yang juga kawan-kawan saya. Saya juga ingin menjadi seperti beliau bila dewasa nanti.

Akhirnya tercapai juga cita-cita saya untuk menjadi cikgu. Ketika saya menunggu keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) saya ditawarkan untuk menjadi guru ganti sementara. Waktu itu saya mengajar budak-budak darjah 2. Memang teruja saat memegang status cikgu, melihat murid-murid yang berada di dalam kelas mendengar dan memberi perhatian ketika kita mengajar. Sebenarnya bukan mudah untuk menjadi cikgu ni. Ketika kita mengajar bukan semua pelajar dapat mengikuti apa yang kita ajar, maklum la budak-budak kan. Ada yang bermain dan bersembang ketika kita mengajar, jadi kita perlu pandai mengambil peranan untuk menarik perhatian mereka. Ada juga sesetengahnya memang memberi perhatian tetapi lambat sikit penerimaan mereka. Jadi kita perlu beri perhatian lebih kepada pelajar tersebut, sebab tidak mahu dia ketinggalan dalam semua perkara yang diajar. Apabila kita memberi latihan barulah kita dapat menilai sejauh mana penerimaan mereka. Alhamdulillah setakat yang saya lihat, mereka semuanya boleh menjawab dengan betul soalan yang diberi. Budak-budak sekarang boleh dikatakan semuanya bijak. Mungkin terdapat segelintir yang mungkin lambat. Jadi itulah tugas seorang guru yang perlu dilaksanakan untuk menjadikan mereka insan yang berkualiti bukan sahaja dalam pelajaran, tetapi juga sahsiah. 

Ok la buat masa ni yang ni dulu dapat saya sampaikan. Nak bersyarah lebih-lebih pun saya ni bukannya pensyarah kan. Semoga apa yang saya sampaikan ni dapat menjadi iktibar buat diri saya dan juga pembaca sekalian. Insya Allah....

Saya ingin mengundur diri terlebih dahulu. Ma'assalamah....