Tuesday, 24 March 2015

Kejayaan Dalam Penjenamaan

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera,

Kepada anda sebagai ibu bapa pasti mula sibuk pada hari ini, kerana anak-anak telah mula bersekolah semula setelah bercuti selama seminggu. Semoga hari cuti yang telah lepas banyak diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah untuk anak-anak, contohnya menghantar mereka ke kelas tuisyen atau ke kem-kem motivasi untuk meningkatkan kekuatan mental dan fizikal mereka. Seterusnya meningkatkan semangat mereka untuk memulakan semula sesi persekolahan nanti. Rutin anda  telah kembali sibuk seperti biasa, bangun pagi untuk menyediakan sarapan, serta menghantar anak-anak ke sekolah sebelum anda pergi ke tempat kerja, kemudian mengambil mereka dari sekolah pada waktu tengahari. Begitulah kebiasaannya bagi mereka yang mempunyai anak yang masih bersekolah.

Berbeza pula dengan rutin saya yang mempunyai anak-anak yang masih kecil, setiap hari saya hanya perlu menjaga dan melayan mereka di rumah. Sementara itu saya akan menjalankan kerja-kerja di rumah seperti kebanyakan suri rumah yang lain. Mungkin tidak sesibuk seperti ibu yang bekerjaya, tetapi tanggungjawab tetap perlu dilaksanakan. Itulah pengalaman saya semenjak menjadi suri rumah sepenuh masa. Di samping itu saya juga menjalankan bisnes part time dengan menjadi pengedar kepada produk Coklat Minda Hijrah. Dapat juga saya mengisi masa terluang dan menambah pendapatan sedikit. Walaupun tidak seperti dahulu ketika saya bekerja dan gaji masuk setiap bulan. 

Pada mulanya saya tertarik dengan jenama Coklat Minda Hijrah kerana ia mempunyai satu produk yang diberi nama Mama Milky. Ia adalah coklat yang sedia dimakan yang berfungsi untuk menambahkan susu badan, kerana pada masa itu saya masih menyusukan anak dengan susu badan sepenuhnya. Ternyata ia berkesan, dan akhirnya saya berminat untuk menjadi salah seorang pengedar. Terdapat satu lagi produk yang saya berikan untuk anak saya, iaitu Coklat Minda yang boleh meningkatkan kecerdasan minda anak saya. Terdapat juga produk-produk yang lain seperti Cho Collagen dan Choc Mirifica yang mempunyai kebaikan tersendiri. Menurut saya ini adalah kejayaan jenama Coklat Minda Hijrah kerana telah bejaya menarik kepercayaan saya untuk menggunakan jenama ini.

Bercerita mengenai jenama ini, rasanya ada satu syarikat yang pasti anda telah mengenalinya yang menarik untuk kita bincangkan di sini. Syarikat ini kini telah semakin maju dan meninggalkan pesaing-pesaingnya dalam industri yang sama jauh di belakang dengan menggunakan formula yang biasa dan tidak popular pun. Tentu anda ingin tahu apa rahsianya? Jawapannya adalah syarikat ini menggunakan penjenamaan. Syarikat ini menggunakan penjenamaan dengan cara yang sangat luar biasa. Apakah nama syarikat ini? Ya, pemilik nama yang hebat dan juga dikenali sebagai Air Asia! Haaa, anda mesti dah kenal bukan. Syarikat yang bermula pada tahun 2001 ini, pada awalnya hanya bernilai RM1.00, menanggung hutang yang banyak iaitu berjumlah RM40 juta, memiliki aset hanya dua buah kapal terbang terpakai iaitu Boeing 737-300, hanya terbang ke satu destinasi sahaja, dalam setahun menerbangkan 250,000 penumpang, dan juga memiliki seramai 250 orang pekerja sahaja. Selama 9 tahun operasinya, Air Asia telah berjaya memiliki aset bernilai hampir RM4 billion, dengan mendapat keuntungan RM549 juta, mempunyai lebih 85 buah pesawat Airbus A320 dan A330, terbang melalui lebih 130 laluan ke 70 destinasi di seluruh dunia, membawa lebih 20 juta orang penumpang dalam setahun dan kini pekerja telah bertambah menjadi sehingga lebih dari 8,000 orang di Malaysia, Thailand dan Indonesia. Apa yang lebih menakjubkan lagi, kini Air Asia telah mampu bersaing dengan syarikat-syarikat yang bertaraf antarabangsa yang lebih lama beroperasi daripadanya seperti Malaysia Airline System (MAS), Singapore Airlines (SIA) dan Cathay Pacific. Sehingga pada satu tahap Air Asia telah membeli saham MAS yang pada ketika itu dalam keadaan hampir muflis.

Apa sebenarnya rahsia kejayaan Air Asia?

Penjenamaan

Apabila kita perhatikan pada badan pesawat Air Asia pasti kita dapat melihat laman web syarikat tersebut. Begitu juga telah banyak acara sukan tidak kira tempatan ataupun antarabangsa yang telah ditaja oleh Air Asia. Kuncinya ada pada CEOnya sendiri, iaitu Tony Fernandes, yang mana beliau tetap mempromosikan dirinya sendiri dan syarikat dengan caranya sendiri, iaitu memakai topi berwarna merah, iaitu warna rasmi Air Asia ke mana sahaja beliau pergi. Semua ini mungkin bagi anda adalah perkara biasa, tetapi ia adalah strategi yang berkesan jika dilaksanakan. 

Adakah anda tahu bahawa dengan penjenamaan juga dapat menjimatkan kos? Sebagai contoh, seperti syarikat pengeluar produk komputer terkenal iaitu Hewlet Packard (HP), beberapa tahun yang lalu mereka telah mencari cara yang paling berkesan untuk mengurangkan kos dalam pengeluaran produk syarikat mereka. Pada satu tahap, mereka hanya menggunakan kaedah asas sahaja, iaitu mengubah kotak yang digunakan untuk membungkus produk keluaran mereka. Memang tidak dapat dinafikan lagi kekuatan jenama HP di pasaran dan juga kepada para pengguna dan pelanggan. Walaupun berlaku perubahan dalam pembungkusan, pelanggan tetap akan membeli dan menggunakan produk HP kerana kualitinya, malah mereka tidak pernah mempertikaikan mengapa bungkusan perlu diubah. HP mengubah kotak yang sebelum ini berwana-warni kepada kotak biasa yang berwarna coklat dengan logo HP yang ringkas. Mereka mendapat kesan yang sungguh mengagumkan atas usaha mereka beberapa tahun yang dahulu, mereka dapat menjimatkan sehingga beberapa juta dolar yang sebelum ini digunakan untuk iklan promosi produk yang penuh berwarna-warni yang pada awalnya untuk menarik perhatian pelanggan. Idea yang boleh dikatakan sungguh bijak. 

Kelebihan yang banyak semestinya dimiliki oleh syarikat-syarikat yang besar jika dibandingkan dengan perniagaan yang kecil kerana mereka memiliki lebih banyak sumber dan tenaga pekerja yang ramai. Tetapi faktor ini tidak dapat membuatkan pelanggan merasa mempunyai hubungan atau dekat dengan syarikat tersebut. Oleh itu, mereka menguatkan syarikat dengan penjenamaan supaya pelanggan akan merasa dekat dan mudah mengingati syarikat berkenaan. 

Para peniaga sekalian, mulakanlah penjenamaan anda walau dengan cara apa sekali pun, dan contohilah mereka yang telah berjaya. 


No comments:

Post a Comment