Sunday, 15 March 2015

Mengapa Jenama Penting Dalam Perniagaan?

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera,

Kepada semua pembaca yang sudi singgah ke blog saya yang tidak seberapa ini. Rasanya sudah terlalu lama saya tidak mengunjungi rumah kedua saya ini. Banyak yang perlu dikemaskini dan perlu diberi sedikit kesegaran supaya ia segar dan ceria kembali. 

Sempena cuti sekolah yang baru bermula ini, pasti ramai ibu bapa yang mengambil kesempatan untuk bercuti bersama anak-anak ke tempat-tempat yang menarik. Jika tidak pun pasti ramai yang akan menghadiri majlis kenduri-kendara yang diadakan di kampung-kampung ataupun di kawasan kejiranan anda. Di samping dapat bergembira, dapat juga mengeratkan hubungan silaturrahim di antara keluarga yang jauh dan jarang-jarang berjumpa.

Dalam sibuk membuat persiapan untuk majlis perkahwinan, pasti ramai yang telah membuat persiapan awal dalam keperluan untuk majlis persandingan, contohnya tempahan pelamin, pakaian pengantin, mak andam dan sebagainya. Pasti semuanya diambil daripada syarikat-syarikat yang menyediakan kemudahan tersebut tidak kira secara berasingan ataupun secara pakej. Yang penting semuanya dapat disediakan dengan sempurna. 

Pada masa kini banyak syarikat yang telah menyediakan bermacam-macam pakej yang lengkap untuk sesebuah majlis perkahwinan yang mudah dipanggil sebagai "wedding planner". Pelanggan hanya perlu datang berbincang tentang tema yang diinginkan, konsep beserta bajet yang diperlukan, dan segalanya akan diuruskan oleh mereka. Pastinya mereka mempunyai jenama mereka sendiri, ada yang sudah terkenal, dan ada yang masih membina nama. 

Bercakap mengenai jenama, kita pasti terfikir apa yang ada pada jenama? Jika kita membeli barang contohnya pakaian, beg tangan, jam tangan, kasut dan sebagainya, pasti kita akan memilih yang berjenama. Mengapa? Adakah ia stylo, adakah ia cantik dipandang, adakah kerana kualitinya? Semua terpulang pada keselesaan kita. Ada juga barang yang tidak berjenama, tetapi selesa dan berkenan di hati kita, pasti kita akan membeli dan memakainya bukan. 

Begitu juga dalam perniagaan, pasti syarikat mementingkan jenama kerana dengan jenama itu mereka dapat memperkenalkan perniagaan mereka. Seperti sesetengah syarikat di negara-negara maju mereka sanggup melabur sehingga jutaan ringgit demi mengembangkan jenama mereka.

Apa itu jenama? Sekali lagi ditanya soalan ini? Jawapannya mengikut yang ditafsirkan oleh kamus Oxford, Penjenamaan (branding) bermaksud pemberian nama atau imej ke atas barangan atau servis supaya orang tertarik untuk membeli atau mendapatkan khidmat yang diperlukan.

Jenama boleh disamakan seperti perasa di dalam masakan. Jika kurang rasanya, maka kurang enaklah makanan tersebut. Jenama boleh dikatakan sebagai penambah nilai kepada produk syarikat, ataupun pada diri anda sendiri juga. Dengan menggunakan jenama sesuatu barangan atau produk akan nampak bernilai dan lebih berharga dipandang, tidak kira sekecil atau sebesar mana syarikat tersebut.

Dengan menggunkan jenama bukan sahaja dapat menambah nilai sesuatu produk atau barangan kita, tetapi ia juga amat penting untuk memastikan produk kita laku di pasaran. Jenama juga akan menjadi iklan percuma kepada barangan kita dengan memastikan barangan yang akan dijual itu berkualiti dalam pembuatannya. Contohnya jika kita seorang penjual nasi lemak, dan kita namakan produk itu dengan 'Nasi Lemak Baiduri'. Jika nama sedap, pasti rasanya juga sedap, itu bagi pandangan sesetengah pelanggan, maka mereka akan rasa ingin mencuba dan membeli produk kita. Apabila mereka telah merasa kelazatannya, maka mereka akan datang dan membeli lagi, seterusnya mereka akan mencanang kepada rakan-rakan yang lain dan akan turut membeli dan setersunya juga menjadi pelanggan kita. Dapatlah kita iklan secara percuma. Mudah bukan?

Kebiasaannya sesebuah syarikat akan menggunakan lambang atau simbol tertentu bagi melambangkan jenama produk atau barangan mereka yang membezakan produk mereka dengan produk syarikat yang lain. Apabila jenama telah dibangunkan dan ia mesti berhubung atau berkaitan dengan produk yang akan dijual. Seterusnya menetapkan spesifikasi produk yang dicipta agar dapat memudahkan pelanggan apabila mereka memerlukan penjelasan yang lanjut berkenaan produk kita. Dengan adanya kualiti tersebut akan dapat menguatkan persepsi pelanggan bahawa produk kita adalah istimewa dan dapat menyelesaikan masalah mereka apabila menggunakannya.

Jenama adalah satu-satunya cara yang paling efektif digunakan untuk memastikan sesuatu produk itu berkuasa dalam pasaran dan menjadi instrumen utama dalam kebanyakan pemasaran sesuatu produk. Dalam era moden ini perniagaan amat memerlukan jenama. Dengan adanya jenama itu seterusnya akan menjadi identiti syarikat tersebut dan menjadikan syarikat lebih mudah dikenali. Jika di Barat, kebanyakan syarikat perniagaan yang lebih maju ke hadapan, mereka sanggup melabur dengan jumlah yang banyak dalam sesuatu penjenamaan. Contohnya, Coke telah terkenal dalam penajaan sukan Olimpik  sejak dari tahun 1928, Adidas juga turut menaja kejohanan Bola Sepak Piala Dunia sejak beberapa dekad yang lalu. Dengan aktiviti penajaan ini menjadikan jenama mereka lebih dikenali di seluruh dunia, dan menjadikan pelanggan dan orang ramai rasa teruja untuk memiliki jenama tersebut.

Dalam kehidupan kita ini, jenama bukan sahaja terkenal ketika adanya acara sukan antarabangsa sahaja, malah ia turut memberi impak dalam kehidupan seharian kita. Anda tidak percaya? Cuba kita lihat berapa ramai orang menggunakan ungkapan, "saya hendak membeli sabun cuci pinggan" dibandingkan dengan ungkapan "saya hendak membeli axion". Sudah pasti ungkapan kedua yang lebih sering kita dengar banyak digunakan untuk menunjukkan jenama tersebut lebih dikenali dan juga kualiti yang ada padanya menjadikan ia lebih menjadi pilihan pengguna berbanding jenama lain yang ada di pasaran. Walaupun harga produk tersebut tentu lebih tinggi daripada yang lain, oleh kerana kualiti yang ada padanya, pengguna tidak kisah untuk memilih jenama tersebut. Selaras dengan itu penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi sesuatu produk akan tetap dilakukan oleh syarikat perniagaan bagi memastikan produk mereka mengekalkan kualiti yang dikehendaki dan seterusnya meningkatkan kepercayaan pelanggan kepada jenama mereka. Maka pelanggan akan setia dan tetap memilih produk mereka walaupun lebih banyak lagi produk yang lebih kurang sama wujud dan menjadi pesaing mereka dalam pasaran.

Kebanyakan syarikat yang baru muncul menggunakan kaedah harga yang rendah bagi menarik pelanggan berbanding kualiti produk. Kaedah ini tidak akan kekal lama kerana pelanggan kini lebih tahu taktik yang digunakan oleh peniaga dan mereka tahu membezakan produk mana yang lebih berkualiti dan mana yang tidak. Kulaiti adalah amat penting bagi pelanggan untuk terus kekal menggunakan sesuatu jenama produk tertentu, di samping itu syarikat tetap terus mengekalkan kualiti dan juga menambah baik produk dan mengembangkannya dengan mencipta produk baru megikut perkembangan semasa. Ini kerana pelanggan akan mudah beralih arah jika didapati produk yang digunakan sekarang masih berada di tahap yang sama dan mereka mendapati produk syarikat lain adalah lebih efektif  untuk dimiliki. Oleh itu peniaga perlu mengikuti perkembangan semasa dunia perniagaan terutamanya daripada pesaing-pesaing agar produk anda tidak ketinggalan zaman dan seterusnya mengekalkan kesetiaan pelanggan.

Perlu diingatkan kepada pengeluar produk supaya sentiasa mematuhi slogan kepada jenama yang mereka keluarkan kepada pelanggan. Contohnya salah satu produk kecantikan yang telah lama berada di pasaran, Atika Beauty dengan menggunakan slogan Cantik Luaran, Sihat Dalaman. Slogan yang digunakan oleh syarikat ini berkesan dan berjaya menarik pelanggan dengan kenyataan produk ini tidak perlu dipuji, hanya perlu diuji untuk mengetahui kehebatannya. Dengan adanya testimoni yang telah berjaya dan juga stokis-stokis dan pengedar yang terdapat di seluruh negeri menjadikan ia lebih menarik kepercayaan pengguna untuk menggunakannya. Dengan kesungguhan dan kemajuan yang ditunjuukkan menjadikan syarikat ini sentiasa berada di iklan muka depan di salah sebuah majalah kegemaran masyarakat iaitu Mingguan Wanita. Produk ini juga menjadi antara pesaing hebat jenama yang lain seperti produk D'Herbs Terlajak Laris, V'Asia, DNars dan banyak lagi.

Teknik penjenamaan ini telah banyak digunakan oleh peniaga-peniaga muda pada hari ini kerana mereka tahu potensi yang tinggi untuk melonjakkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi. Penjenamaan yang berkesan akan mudah diingati oleh orang ramai dan pelanggan, malah tidak disangsikan jika kualiti barangan dan perkhidmatan yang diberikan sangat baik, pelanggan tidak akan sangsi untuk kembali lagi mendapatkannya. Apabila kepercayaan telah diperolehi, pelanggan akan terus melabur kepada perniagaan anda dan pemasaran produk anda akan menjadi lebih mudah jika pelanggan tersebut menjaja dari mulut ke mulut berkenaan produk anda. Untuk menjadikan sesuatu jenama itu lebih dikenali dan meningkat naik ternyata bukanlah sesuatu yang mudah, dan memerlukan masa yang lama dan usaha yang lebih gigih. Tetapi jenama adalah strategi percuma yang efektif untuk sepanjang masa dan ketika. Ciptalah jenama apa pun, di samping produk yang berkualiti pasti anda akan dapat hasilnya.

Apabila kita memasuki restoran makanan segera contohnya KFC, pasti terdapat tema yang ditunjukkan iaitu "Sedap Hingga Menjilat Jari". Contoh ini adalah menunjukkan jenama yang kuat melalui tema yang digunakan. Tema tidak semestinya niche, slogan atau tajuk utama produk tersebut, tetapi merangkumi konsep keseluruhannya supaya ia mudah diadaptasi oleh pelanggan yang semestinya mereka akan seronok merasainya.

No comments:

Post a Comment