Friday, 28 November 2014

Nak Diet... Tapi Takut Lapar...

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera,

Salam Jumaat buat semua pengunjung dan pembaca blog saya ini. Hari yang baru lagi bermula dan menghitung hari yang semakin menghampiri ke tahun yang baru. Adakah telah tercapai semua matlamat dalam hidupku? Adakah telah terlaksana semua rencanaku? Sudah bersediakah aku untuk menghadapi hari-hari yang mendatang? Semua itu bermain di dalam fikiranku.

Semakin kufikir-fikir semakin runsing, mungkinkah masih ada peluang untuk diriku menjadi lebih baik. Sedangkan hari-hari yang lepas telah kubiarkan sia-sia. Ya Allah bantulah hambamu ini dalam menghadapi kehidupan yang penuh dengan ranjau dan dugaanMu. Berilah kekuatan kepada diriku ini untuk meneruskan kehidupan dalam dunia yang kurasakan semakin menyesakkan. 

Dalam merenung diri aku teruskan jua mengharungi hari ini. Setelah bangun seawal jam 6.00 pagi, sejurus mendengar azan Subuh saya terus membersihkan diri. Walaupun air yang sejuk tidak kuhiraukan kerana itu sudah menjadi kebiasaan. Kerana hujan yang lebat malam tadi air menjadi semakin dingin seperti ais. Kuteruskan jua sehingga selesai, dan mengambil air sembahyang, bersiap lalu terus menunaikan solat Subuh. Setelah selesai berdoa aku bermuhasabah seketika sebelum meninggalkan tikar sembahyang.

Kebiasaannya saya akan memasak sarapan awal untuk suami kerana dia akan keluar bekerja pada pukul 7.00 pagi. Sambil itu saya memasukkan baju-baju yang kotor ke dalam mesin basuh dan memutar mesin. Sementara itu saya menyelesaikan kerja-kerja di dapur. Selepas semua selesai dan suami telah keluar bekerja, saya akan menyidai kain dan mengemas rumah sementara anak-anak belum bangun dari tidur. Biasanya si adik yang akan bangun awal, manakala abang pula akan bangun lewat sekitar jam 9.00 pagi.

Sambil melayan si adik saya menyelesaikan kerja-kerja yang masih belum siap, kemudian menyedikan sarapan untuk si abang dan si adik pula. Adik sekarang sudah mula makan, jadi perlu sediakan bubur nasi untuk adik. Setelah siap adik akan sarapan dahulu. Biasanya bila abang bangun, adik sudah selesai mandi dan bermain. Abang pula bangun-bangun tidur terus mintak susu. Lepas tu main dengan adik. Dia suka cium adik. Sayang sangat kat adik dia, tapi ada masa-masa dia suka sakat adik dia pulak. Seronok tengok gelagat 2 beradik ni. Abang dia suka baca buku. Baca depan adik dia, tapi adik ni geram nak buku juga, lepas tu masuk ke mulut. Hehe...

Si adik pula dah pandai menjulur. Habis keliling rumah dijelajahnya. Nak ikut abang lari ke sana, ke sini adik masih belum boleh lagi. Kenalah ibu angkat adik ke tempat asal dia, tapi tak lama. Sekejap sahaja adik dah sampai ke tempat lain. Bila adik letih, adik minum susu lepas tu tidur. Sampai masa mak nak sediakan makan tengah hari pula. Abang pun sibuk tanya itu ini, riuh mulut dia. Dah bosan tunggu mak masak, dia ambil basikal dia naik pusing keliling ruang tamu. Nasib baik la adik dia tak hirau bunyi bising. Senang sikit nak selesaikan memasak. 

Bila ayah balik, abang dengar je bunyi kereta ayah terus menuju ke pintu sambut ayah. Seronok sangat tengok ayah balik, nak tolong ayah angkat barang. Biasanya ayah dia balik dekat pukul 2.00 petang. Masa tu biasanya adik belum bangun. Ayah balik-balik je terus tengok adik. Selepas berehat dan makan tengah hari, ayah biasanya akan tidur sekejap. Abang pun akan tidur juga, masih tidur di dalam buaian. Jadi ada dua buaian, satu untuk adik dan satu untuk abang.

Hari ni ayah nak balik ke kampung, abang pun nak ikut sekali. Selalunya ayah akan balik ke kampung 2 atau 3 hari sekali, sebab ayah nak tengok ayam itik yang diternaknya di sana. Dia akan membersihkan kandang dan reban, serta menambah makanan dan minuman untuk ayam itik tersebut. Biasanya ayah akan kutip telur-telur ayam dan itik untuk dibawa balik dan dijual. Sekarang kami tinggal di rumah sewa, jadi ayah tak boleh nak ternak ayam itik di sini, jadi dia buat di kampung. Lagi pun abang dia ada di sana, boleh tolong tengok-tengokkan apabila dia tidak sempat balik kampung. Ayah memang berminat dengan ternakan ayam itik, dan bercita-cita nak besarkan perniagaan untuk ternakan kerana pasaran dan permintaan tinggi.

Bila ayah dan abang tiada di rumah, tinggallah mak dan adik dua orang di rumah, Sunyi rasa bila adik dah tidur. Sementara menunggu ayah dan abang balik, tak tau nak buat apa, ambil majalah Mingguan Wanita. Sambil tu cari idea nak tulis apa dalam blog. Selak-selak majalah masih tak dapat lagi idea nak tulis apa. Jadi nak kongsi tips je la. Saya berminat pulak dengan tips kesihatan ni. Pasti ramai di luar sana yang ingin berdiet kan? Kalau sebut je pasal diet pasti ramai yang menahan lapar untuk mendapatkan badan yang kurus dan langsing. Jangan risau, walaupun anda berdiet, anda boleh elakkan untuk tidak berasa lapar sepanjang tempoh berdiet nanti. 

Biasanya apabila anda tidak dapat menahan lapar, pasti anda akan makan lebih banyak untuk menghilangkan rasa lapar tersebut. Dengan itu, niat untuk berdiet bukan sahaja terbantut, malah harapan untuk mendapatkan bentuk badan impian juga turut musnah. Jangan cepat berputus asa. Selepas membaca tips ini anda pasti akan bersemangat semula untuk meneruskan semula program diet anda. Cubalah beberapa tips ini, yang pasti mudah untuk anda ikuti. 

Tips mengelakkan rasa lapar ketika berdiet :

1. Banyakkan minum air kosong

Amalkan meminum segelas air pada setiap jam. Dengan ini dapat membantu menyingkirkan toksik dari tubuh dan memberikan rasa kenyang. Ia juga dapat membantu tubuh terhidrasi dengan baik, seterusnya menyihatkan dan memberikan tenaga.

2. Masukkan kayu manis ke dalam masakan

Kayu manis adalah sejenis rempah yang menyihatkan dan banyak manfaatnya. Ia berfungsi menstabilkan gula dalam darah dan melambatkan proses pencernaan. Jadi anda akan berasa kenyang lebih lama.

3. Makan dengan perlahan

Dengan mengunyah makanan perlahan-lahan dapat membantu pencernaan dengan baik dan sempurna. Sekiranya anda makan dengan laju pencernaan tidak dapat dilakukan dengan baik, dan membuatkan anda tidak berasa kenyang. Sebab itu anda akan makan lebih banyak.

4. Makan buah-buahan

Amalkan makan buah-buahan kerana ia sangat baik untuk kesihatan anda. Ada juga yang suka meminum jus buah-buahan sahaja. Walaupun ia lebih mudah, tetapi adalah lebih bagus makan buah segar yang telah dipotong, kerana ia dapat membuatkan anda berasa kenyang lebih lama.

5. Kurangkan pengambilan gula

Pasti anda sedar bahawa gula dapat memberikan rasa kenyang dengan segera, tetapi rasa kenyang akan hilang dalam tempoh yang singkat. Apabila tekanan darah menurun, kita akan mudah merasa lapar. Oleh itu, cara tebaik adalah dengan mengurangkan pengambilannya dalam kehidupan seharian kita.

6. Makan makanan tinggi serat

Serat adalah sejenis makanan yang paling lama untuk dihadamkan. Anda digalakkan untuk mengambil serat setiap kali sarapan, makan tengahari dan makan malam. Ia juga dapat membantu memudahkan sistem pencernaan kita.

7. Minum teh atau kopi

Untuk mengurangkan rasa lapar, minumlah teh atau kopi. Lebih elok jika diminum dengan mengurangkan kandungan gula. Teh juga dikatakan dapat meningkatkan kesihatan tubuh secara keseluruhannya.

8. Makan dengan kuantiti yang sedikit

Tidak salah anda makan 3 kali sehari, tetapi cuba amalkan dengan mengambil kuantiti yang sedikit tetapi seimbang. Dengan mengamalkan ini ia dapat mengawal paras gula dalam darah, dan juga mengelakkan kita berasa lapar sepanjang masa. 

Bagi anda yang mengamalkan diet dengan menahan lapar, akan menyebabkan tubuh kekurangan kalori yang menjadi sumber tenaga. Anda akan menjadi hilang tumpuan dan mudah pengsan. Anda juga cuba menahan nafsu untuk makan. Apabila ini terjadi pasti anda tidak dapat melakukan aktiviti seharian dengan sempurna. Oleh itu amalkan diet dengan cara yang sihat. 

Selamat berdiet diucapkan, dan semoga berjaya...!!!


No comments:

Post a Comment