Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.
Salam hari Khamis, 6 November 2014 bersamaan dengan 13 Muharram 1436H. Salam Maal Hijrah. Menghitung hari-hari terakhir di tahun 2014 dan memulakan hari-hari baru dalam tahun baru Islam. Semoga segalanya bermula dengan baik serta bertambah baik lagi dengan adanya perkara-perkara baru dan meninggalkan yang lama untuk dijadikan sebagai kenangan dan juga pemandu untuk kita memperbaiki diri.
Teringat kenangan ketika waktu berpantang dahulu. Selepas bersalin di hospital saya terus pulang ke kampung ibu saya untuk berpantang di sana kerana ibu lebih arif tentang cara-cara berpantang ni. Lagi pula jika saya berpantang di rumah sendiri tiada siapa yang akan menjaga saya, malah suami pun tidak tahu apa yang perlu dilakukan memandangkan ini pengalaman pertama mendapat cahaya mata.
Seperti kebiasaan orang berpantang, bermacam-macam perkara kita tidak boleh lakukan dan berehat sekejap daripada melakukannya, seperti menjaga pemakanan, tidak melakukan kerja-kerja berat. Waktu itu juga saya menjalankan rutin harian dengan memakan jamu yang telah dibuat sendiri oleh penduduk kampung, berpilis, berbengkung, bertungku dan berurut. Semuanya telah ibu sediakan sebelum saya balik berpantang, dan tukang urut juga telah dibooking awal kerana takut tidak mendapat tukang urut yang lain. Ye la zaman sekarang ni jarang kita jumpa tukang urut tradisional, kalau ada pun semuanya sudah berumur dan ada yang sudah bersara. Jika tidak terpaksa pergi berurut di spa atau tukang urut moden.
Mengapa kita perlu berpantang? Perkara ini dilakukan untuk memulihkan semula tubuh dan merawat dalaman terutama setelah melahirkan anak atau sekiranya berlaku keguguran. Sepanjang proses kehamilan dan seterusnya sewaktu melahirkan tubuh kita sedikit sebanyak akan terjejas dan juga kecantikan tubuh kita akan berubah terutamanya pada bahagian intim. Oleh itu kita harus melakukan kesemua amalan orang berpantang seperti memakan jamu yang semestinya mempunyai kandungan yang berkhasiat dan boleh memulihkan bahagian dalaman wanita. Begitu juga dengan berurut dapat mengembalikan semula bentuk tubuh serta menegangkan semula bahagian yang kendur. Jadi tubuh kita akan dapat kembali sihat dan segar, serta dapat menjadi cergas semula untuk melakukan tugas-tugas lain seperti sedia kala.
Jika menyebut tentang jamu, pasti ramai yang terbayang dengan warnanya yang tidak menarik, bau yang tidak menyelerekan, dan rasanya yang pahit. Tetapi anda mesti tahu bahawa banyak khasiat yang terkandung di dalam jamu tersebut. Sekarang anda tidak susah untuk memakan jamu kerana telah banyak terdapat pelbagai jenis jamu di pasaran, dan mudah untuk anda menelannya kerana ia telah dikapsulkan, jadi anda tidak akan terasa kepahitan jamu tersebut.
Ramuan di dalam jamu adalah terdiri daripada herba-herba yang dikatakan mempunyai seribu khasiat untuk mengembalikan kesihatan dalaman wanita. Di antaranya adalah buah manjakani yang digunakan sebagai salah satu bahan di dalam produk kecantikan untuk wanita. Apakah khasiat buah manjakani ini? Marilah sama-sama kita lihat kebaikannya.
Menghilangkan Bau Yang Tidak Menyenangkan
Anda hanya perlu menggunakan bahan semulajadi dan tidak perlu mengeluarkan belanja yang banyak. Gunakan ramuan ini untuk mencuci bahagian intim wanita. Mudah sahaja, ambil 10 biji buah manjakani dan rebus sehingga mendidih. Kemudian biarkan ia menjadi suam dan simpan di dalam bekas atau botol yang bersih. Setiap kali anda mencuci vagina gunakannya seperti sabun. Dengan melakukannya setiap hari ia dapat mengatasi masalah keputihan, menghilangkan bau yang kurang enak dan pastinya anda akan mendapat vagina yang bersih dan sihat. Sebaiknya gunakan air rebusan itu selama 3 hari sahaja, selepas itu anda perlu membuat air rebusan yang baru bagi menjamin khasiatnya dan juga kesegarannya.
Memulihkan Kesihatan Dalaman Wanita
Makanlah buah manjakani setiap hari. Caranya ambil sebiji buah manjakani dan masukkan ke dalam nasi yang sedang mendidih. Apabila nasi sudah kering, ambil buah manjakani dan potong kecil-kecil sementara ia masih lembut. Makanlah dengan nasi panas tadi seperti memakan ulam. Makan sedikit-sedikit kerana rasa buah manjakani sangat pahit.
Melambatkan Penuaan
Rebus 2 hingga 3 biji buah manjakani sehingga mendidih. Biarkan ia suam dan minum air rebusan ini setiap pagi. Anda akan menjadi awet muda dan tubuh akan menjadi bertenaga. Air rebusan ini juga dapat menguatkan otot vagina serta menjadikan tubuh kelihatan langsing. Amalkan meminum 1/2 cawan air rebusan ini setiap hari. Anda pasti akan teruja melihat hasilnya nanti.
Menyembuhkan Luka Jahitan
Bagi sesiapa yang baru melahirkan anak pasti akan terdapat luka jahitan. Buah manjakani boleh digunakan untuk menyembuhkan luka tersebut. Caranya dengan mengasah sebiji buah manjakani pada belakang pasu, kemudian sapu pada bahagian luka. InsyaAllah luka tersebut akan semakin baik dan vagina menjadi semakin mantap.
Sumber : Mingguan Wanita
mingguanwanita.karangkraf.com
No comments:
Post a Comment