Tuesday, 28 April 2015

Bagaimana Cara Membina Jenama Untuk Perniagaan?

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera,

Kepada para pengunjung dan pembaca sekalian, terima kasih diucapkan kerana sudi singgah dan melihat-lihat blog saya yang tidak seberapa ini. Sesungguhnya saya juga sama seperti anda semua, yang sentiasa mencari maklumat-maklumat yang berguna untuk dijadikan sebagai panduan untuk meneruskan apa jua aktiviti dalam kehidupan seharian.

Sudah pasti apa yang hendak dibincangkan kali ini adalah berkaitan dengan tajuk kita, iaitu cara membina jenama untuk perniagaan. Tanpa kita sedari, sebenarnya diri kita sendiri adalah penjenamaan yang paling berkesan dan banyak kelebihan tersendiri yang mungkin tidak dapat dilakukan oleh syarikat-syarikat besar. Kata-kata yang kita ucapkan dan apa yang kita lakukan sudah cukup untuk menunjukkan kepada orang ramai tentang perniagaan kita. Sekiranya terdapat pelanggan yang menghubungi untuk membuat tempahan atau pembelian, maka mereka terus berhubung dengan kita secara langsung. Kita sebagai manusia pastinya lebih suka berinteraksi dengan manusia, bukan melalui mesin atau sekarang ini manusia ramai yang bekerja sebagai mesin. Melalui cara ini kita akan kelihatan lebih dipandang jika dibandingkan dengan syarikat yang telah memiliki jenama yang hebat. Pelanggan akan merasa senang dan gembira apabila dapat berhubung dengan kita secara terus dan pastinya rasa positif akan muncul apabila pengalaman mereka bersama kita, dan juga cerita-cerita yang didengar daripada rakan-rakan yang dikenali membuatkan mereka lebih percaya akan kelebihan yang terdapat pada jenama kita.

Pastinya ramai di luar sana yang telah membina laman web untuk tujuan meluaskan lagi perniagaan. Tetapi laman web tersebut semestinya mempunyai hubungan dengan nilai-nilai kemanusiaan. Banyak kita lihat laman web yang hebat-hebat dicipta bagi memastikan syarikat mereka kelihatan megah dan besar, walaupun syarikat yang sebenar tidak wujud secara fizikal. Cara ini mungkin akan menjadi pada mulanya, tetapi apabila pelanggan mendapati ianya tidak benar bagai yang dikata, pasti mereka tidak akan mempercayai anda, bahkan penjenamaan anda akan turut gagal sama sekali. Sudah tentu kehebatan dan kemegahan yang dibina pada awalnya tidak menjadi pula pada akhirnya, maka sia-sialah usaha anda.

Pada awal perniagaan, wujudkanlah sebuah blog yang menceritakan pergerakan perniagaan anda dari awal sehingga kini supaya pembaca mengenali anda dan perniagaan yang anda jalankan. Terangkan dengan jelas segala yang berkaitan dengan pernigaan anda seperti objektif, fungsi, faedah dan kebaikan kepada pelanggan serta perkara-perkara yang berkaitan dengan keperluan pelanggan. Jika pelanggan merasa masalah mereka dapat diatasi dengan mendapat maklumat yang tepat, maka anda adalah pakar bagi mereka. Dari sehari ke sehari penjenamaan diri anda akan terus meningkat dan menjulang naik. Seterusnya lama-kelamaan anda akan memperolehi pelanggan yang ramai dari yang tetap sehingga pelanggan yang baru. Memiliki logo dan tagline yang menarik serta hebat bukanlah penentu kejayaan perniagaan anda. Ingatlah apa sahaja yang kita katakan dan apa sahaja yang kita lakukan itulah sebenarnya penjenamaan diri kita yang sebenar.

Kesimpulannya, penjenamaan adalah persepsi dan pandangan masyarakat terhadap sesebuah perniagaan yang dibina. Ingatlah terdapat faktor lain yang penting selain pemilihan nama dan jenama perniagaan, iaitu anda perlu memberi pengenalan yang baik tentang perniagaan anda, mengambil hati, dan juga menarik kepercayaan pelanggan dan masyarakat kepada anda. Jika perkara-perkara ini diambil kira, maka anda tidak akan tersasar daripada objektif perniagaan anda dan seterusnya mencapai kejayaan yang cemerlang.

Oleh itu diharapkan anda semua yang memiliki perniagaan, semoga berjaya dengan apa yang anda lakukan, tidak kira ianya besar atau kecil. Semoga memberi manfaat. Wassalam....

No comments:

Post a Comment