Thursday, 30 October 2014

Buanglah Sikap Negatif

Assalamulaiakum w.b.t. dan salam sejahtera.

Walaupun sudah larut malam, saya ambil juga kesempatan ini untuk menukilkan sepatah dua kata di dalam blog ini untuk tatapan anda para pembaca, dan juga untuk peringatan diri sendiri. 

Pada awal pagi tadi, sambil mengemas rumah dan melayan anak-anak saya menonton rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3. Saya berminat dengan satu topik yang diketengakan iaitu berkaitan dengan kebersihan di kawasan perumahan bagi mengelakkan wabak denggi. 

Pasti ramai yang bersetuju untuk menghapuskan denggi dan juga bersimpati apabila mendengar berita tentang mangsa-mangsa yang dijangkiti demam denggi. Kita juga berusaha untuk menjaga diri dan keluarga daripada mengalami perkara yang sama.

Namun ia hanya berlaku ketika wabak tersebut sedang hangat diperkatakan. Apabila ia sudah reda kita pun sedikit demi sedikit melupakannya dan menganggap tidak perlu lagi berhati-hati kerana wabak tersebut sudah berlalu, dan mengatakan ianya adalah wabak yang bermusim. Boleh dikatakan tindakan ini adalah seperti hangat-hangat tahi ayam. Begitulah sikap segelintir masyarakat yang yang terdapat di sekitar kawasan wabak tersebut.

Terdapat beberapa sikap negatif yang boleh dilihat, dan diharap anda bukanlah termasuk di dalam golongan tersebut.

1. Sikap Tidak Peduli 

    Kita mungkin terdengar kata-kata seperti ini. Ahh!!..Peduli apa aku??!!..Mereka yang mempunyai sikap seperti ini adalah terdiri daripada mereka yang tahu dan faham berkenaan denggi dan cara mencegahnya tetapi mereka tidak mahu melaksanakannya. Kebanyakan rakyat Malaysia sedar akan bahaya denggi tetapi mereka endah tak endah di dalam tindakan untuk melakukan pencegahan.

2. Tidak Mahu Berdikari

    Golongan ini sentiasa mengharapkan pihak kerajaan yang harus bertindak untuk menyelesaikan masalah wabak denggi. Mereka bertubuh sihat, sempurna akal fikiran dan mampu untuk melaksanakannya. Tetapi mereka lebih suka menunggu pihak lain yang melakukannya dan melihat hasilnya sahaja serta suka menyalahkan pihak tersebut atas apa yang berlaku.

3. Tidak Suka Mengemas (Pengotor)

    Wabak denggi yang berlaku di kawasan perumahan biasanya dilihat mempunyai ciri-ciri yang sama iaitu mereka kurang menitikberatkan soal kebersihan kawasan sekitar. Biasanya di kawasan-kawasan ini dapat dilihat botol-botol plastik bertaburan, tayar-tayar lama terbiar bergelimpangan, serta bau-bau yang kurang menyenangkan dari longkang-longkang yang tersumbat serta semak samun yang tidak ditebas. Jelas sekali mereka gemar mengundang wabak tersebut kepada mereka.

4. Suka Percaya Kepada Perkara Tahyul @ Konspirasi

    Golongan seperti ini percaya bahawa mereka tidak akan dihinggapi oleh wabak tersebut, kononnya mereka kebal kerana sistem imun yang kuat hasil daripada latihan yang sering dilakukan di gim dan aktiviti-aktiviti kesihatan memberi antibodi yang kuat apabila digigit nyamuk pembawa denggi.

Selain itu ada juga yang percaya dengan mengamalkan pengambilan daun betik, meminum jus jambu batu dan 100plus dapat menghindari dan mengubati demam denggi. Terdapat juga mereka yang percaya dengan membiasakan diri digigit nyamuk akan membuatkan badan lali dengan nyamuk Aedes. Bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan kawasan hutan pula percaya bahawa nyamuk yang datang dari kawasan tersebut adalah tidak berbahaya kerana datang dari habitat semulajadi. Manakala orang-orang tua pula percaya bahawa nyamuk tidak dapat menembusi kulit mereka  yang tebal apabila digigit.

5. Kurang Kefahaman

    Melihat kawasan yang bersih tidak semestinya ia selamat daripada wabak denggi kerana nyamuk boleh terbang ke mana sahaja dengan membawa wabak tersebut. Ia tidak peduli sama ada anda orang biasa, orang kenamaan, ataupun olahragawan terkenal, kerana ia tidak mengenal mangsanya. Selagi anda berada di dalam kawasannya, selagi itu anda tidak akan terlepas. Oleh itu berwaspada sentiasa.

6. Tidak Mempunyai Disiplin

    "Buang je...nanti ada lori sampah datang ambik!!!... Kata-kata ini didengar seperti tidak bertanggungjawab dan hanya mengharapkan orang lain sahaja yang menjalankan tugas. 

Bayangkan di Jepun, semua penduduk rumah pangsa diberi tanggungjawab terhadap kebersihan kawasan tersebut. Pada setiap hari Ahad pertama, ketua setiap rumah atau keluarga diwajibkan menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan. Jika mereka gagal menyertainya, mereka akan dikenakan denda. Setiap keluarga atau rumah disenaraikan di dalam jadual dan diberi tanggungjawab untuk membersihkan sampah-sampah besar.

Jika perkara ini diamalkan di Malaysia pasti akan bahagialah masyarakat kita kerana terhindar daripada wabak yang berbahaya. Seperti kata pepatah, alah bisa, tegal biasa, maka akan berakhirlah kisah denggi dan menjadi sejarah. Ke mana pula hilangnya nilai-nilai murni yang selalu kita bangga-banggakan dahulu?

Adakah masyarakat kita sudah lali melihat timbunan sampah yang melimpah di tong-tong sampah, dan lali melihat botol-botol kosong bertaburan serta tidak mengendahkannya, lalu membiarkannya begitu sahaja. 

Adakah anda pasti tidak tersenarai dalam golongan yang disebutkan di atas tadi? Jika ada, marilah sama-sama kita mengubahnya ke arah yang lebih positif untuk kebaikan kita serta masyarakat seluruhnya. Walaupun usaha memerangi denggi adalah sesuatu yang memenatkan, tetapi atas usaha kita itu akan membuahkan hasil yang amat menakjubkan.

Fikir-fikirkanlah...sekian dahulu dari saya. Assalamualaikum.....




No comments:

Post a Comment