Memang sejak dari dulu saya bercita-cita nak jadi cikgu, dan pernah menjadi cikgu sementara, tetapi cita-citaku itu tidak sampai ke akhir kerana telah menukar bidang kerjaya. Ibu saya memang menggalakkan supaya saya menjadi cikgu kerana pada pandangannya masa depan saya akan lebih terjamin. Mungkin rezeki saya bukan ke arah itu. Segalanya berubah setelah saya mengikuti kursus Perkeranian dan Kesetiausahaan di sebuah Institusi swasta. Selepas menamatkan kursus tersebut dan menjalani Praktikal di sebuah Jabatan Bukan Kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur, saya telah ditawarkan untuk mengisi kekosongan di Jabatan tersebut. Alhamdulillah setelah mengikuti temuduga untuk memenuhi prosedur, permohonan saya telah diterima dan saya memegang jawatan sebagai seorang Pembantu Tadbir di Unit Pembangunan Modul.
Itulah pengalaman pertama saya bekerja di pejabat. Di dalam unit itu kami bertugas untuk membangunkan modul bagi setiap bahagian di dalam Sektor Operasi. Sektor Operasi ini sentiasa menjalankan program-program berbentuk seminar, motivasi dan juga aktiviti-aktiviti sosial bersama masyarakat di luar. Jadi modul yang dibangunkan hendaklah bersesuaian dengan setiap audien atau peserta kursus yang akan dijalankan dalam program nanti.
Biasanya bahagian-bahagian di dalam Sektor Operasi akan membuat permohonan terlebih dahulu dengan menyertakan kertas kerja program sekurang-kurangnya sebulan awal supaya kami dapat menyediakan modul yang dikehendaki. Setelah modul siap disediakan perbincangan akan diadakan bersama Bahagian yang memohon untuk menilai sama ada modul tersebut sesuai untuk dilaksanakan. Sekiranya terdapat persetujuan bersama maka modul tersebut akan dilaksanakan di dalam program nanti sebagai ujikaji. Sepanjang program dijalankan audien akan diberikan borang penilaian untuk menilai sama ada modul tersebut berjaya. Setelah habis program, penilaian daripada peserta akan dilihat sama ada memuaskan atau tidak. Jika tidak memuaskan perbincangan akan diadakan sekali lagi untuk menambah baik modul tersebut. Kemudian ujikaji akan dijalankan sekali lagi dengan mengadakan program yang lain pula dengan audien yang berbeza.
Begitulah seterusnya dalam setiap program penialaian dan perubahan akan dibuat terhadap modul tersebut sehingga ia benar-benar memuaskan hati semua pihak. Kemudian modul yang telah sempurna akan dipatenkan dan disimpan sebagai fail simpanan, dan kemudian sekiranya terdapat Bahagian-bahagian lain yang ingin menggunakannya, mereka perlu membuat permohonan agar modul tersebut terpelihara. Kemudian kami akan menilai pula sebanyak mana modul tersebut digunakan. Di samping itu modul-modul yang lain juga turut dibangunkan, jadi terdapat banyak pilihan modul yang dapat digunakan mengikut kesesuaian.
Itulah serba sedikit kisah pengalaman bekerja saya. Walaupun peranan saya hanyalah pembantu tetapi, ia memberi pengalaman yang berguna untuk saya. Diharap dengan pengalaman tersebut dapat saya menggunakannya untuk diri saya suatu masa nanti. Begitulah kisah diri saya yang diberi nama Nor Mahsuri Binti Mhd Nordin. Nama yang diberikan oleh ayah dan ibu saya. Saya dibersarkan bersama-sama 6 orang adik saya yang lain, dan saya adalah anak sulung. Saya dilahirkan di Selangor tempat asal ibu bapa saya. Kehidupan kami adalah sederhana tetapi bahagia. Ibu bapa saya tidak kisah apa pekerjaan saya asalkan saya gembira dn suka dengan apa yang saya buat. Mereka juga sering mendoakan kejayaan saya. Alhamdulillah dengan didikan yang diberikan oleh mereka kini saya menjadi insan yang berguna dan dapat memberi khidmat kepada rakyat.
Kini saya telah mendapat jawatan tetap sebagai Pengurus Rumah Tangga sepenuh masa. Setelah bertemu jodoh dengan suami saya yang berasal daripada Perak. Beliau merupakan usahawan persendirian secara kecil-kecilan. Setelah berkahwin saya masih lagi bekerja di Jabatan yang sama dan kami tinggal berjauhan, saya di Kuala Lumpur dan suami di Kedah, kerana dia bekerja di sana. Ketika itu saya berulang-alik dari KL ke Kedah dalam dua minggu sekali. Maklum la dah jadi isteri kena jugak tunaikan tanggungjawab. Nasib baik la suami faham kerja saya. Setelah enam bulan berkahwin saya mendapat berita gembira apabila disahkan mengandung anak pertama, begitu juga suami. Beliau berpesan supaya sentiasa menjaga diri dan kandungan. Tapi apa kan daya kegembiraan tidak berpanjangan apabila saya mengalami keguguran. Mungkin disebabkan saya terlampau letih kerana saya pergi bekerja dengan menaiki komuter dan perlu berjalan kaki untuk ke tempat kerja. Mungkin juga kandungan saya masih belum kuat. Kami merasa sedih, tetapi suami tetap memberikan semangat dengan mengatakan mungkin masih belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata. Kami boleh mencuba sekali lagi, dan dalam masa yang sama suami meminta saya untuk bertukar tempat kerja yang lebih dekat dengannya.
Kebetulan pada masa itu pejabat telah membuka cawangan baru di Perak, jadi saya memohon untuk ditukarkan ke sana kerana lebih dekat sedikit dengan suami. Alhamdulillah saya mendapat pertukaran walaupun lama juga menunggu permohonan diluluskan, kerana menunggu pengganti untuk mengisi kekosongan jawatan saya yang akan saya tinggalkan. Perjalanan untuk berulang-alik dari Perak ke Kedah tidaklah jauh sangat, lebih kurang 2 jam, jika nak dibandingkan dari KL ke Kedah, boleh katakan 4 ke 5 jam jugak tu.
Setelah beberapa bulan bekerja di situ sekali lagi saya disahkan mengandung. Kali ini alhamdulillah kami dikurniakan seorang putera yang comel. Tetapi setelah bekerja semula saya tidak dapat menjaganya sendiri dan terpaksa menghantar ke rumah pengasuh. Pada suatu hari pengasuh memaklumkan anak saya diserang demam panas. Sejak dari hari itu saya tidak mengetahui bahawa anak saya telah dijangkiti kuman di otaknya. Kami menyedarinya apabila anak kami berumur 9 bulan. Pada waktu itu anak saya asyik menangis sahaja, dan demam yang berpanjangan serta tidak sembuh-sembuh walaupun sudah beberapa kali pergi ke klinik untuk mengambil ubat.
Akhirnya kami membawanya ke hospital. Apabila doktor memeriksanya, akhirnya doktor memaklumkan anak kami terpaksa ditahan di wad kerana doktor mengesyaki terdapat jangkitan kuman. Setelah seminggu berada di Hospital, ketika itu Hospital Besar Ipoh, doktor telah menjalankan ujian pada darah dan air kencing, tetapi tidak terdapat kuman pada kedua-duanya. Doktor juga memeriksa jantung, paru-paru, hati, buah pinggang dan semua organ, tetapi masih tidak menemui punca mengapa demamnya tidak sembuh-sembuh. Akhirnya doktor menyarankan agar diambil air dari tulang belakangnya. Kami tidak dapat memberi keputusan kerana bimbang akan keselamatan anak kami. Kami meminta pendapat daripada ahli keluarga yang lain berkenaan perkara tersebut. Kebanyakkan mereka tidak bersetuju untuk mengambil air tulang belakang kerana bimbang risiko pada masa hadapan. Jadi kami mengambil keputusan untuk meneruskan rawatan di Putra Medical Centre, Kedah setelah disarankan oleh kakak suami.
Di hospital itu doktor membuat MRI dan x-ray. Setelah melihat x-ray tersebut barulah doktor menemui puncanya. Rupa-rupanya kuman tersebut telah merebak di bahagian otak sebelah kanan anak saya, dan ia berupa nanah yang menyelaputi bahagian luar otak. Doktor memaklumkan pembedahan perlu dilakukan segera atau anak kami akan mengalami kecacatan kekal seumur hidup. Pada waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya, setelah doktor menerangkan risiko sewaktu pembedahan mungkin akan berlaku kehilangan darah yang banyak dan mungkin akan menyebabkan kehilangan nyawa. Tetapi kami menyerahkan semuanya kepada Allah Taala. Kami tetap mahu meneruskan pembedahan tersebut untuk melihat anak kami sembuh. Walau apa pun yang berlaku kita tetap perlu berusaha, Allah yang menentukan segalanya. Sewaktu pembedahan dijalankan kami hanya berdoa dan bertawakkal agar semuanya selamat. Dengan sabar menanti di hadapan bilik pembedahan yang berlangsung selama 4 jam, akhirnya semua telah selamat. Tetapi kami masih tidak dibenarkan untuk melihatnya kerana keadaannya masih belum stabil.
Akhirnya kami dibenarkan untuk melihat anak kami. Sayu hati kami melihat keadaannya yang masih tidak sedarkan diri dengan bermacam-macam alat disambungkan ke badannya. Doktor memaklumkan dia akan berada dalam keadaan begitu selama beberapa hari kerana doktor memberinya ubat tidur dan ubat penahan sakit agar dia tidak banyak bergerak selepas pembedahan. Kami tidak sabar untuk melihatnya membuka mata. Akhirnya dia membuka mata jua dan apabila terlihat kami, dia terus menangis kerana ingin didukung. Saya menangis kegembiraan kerana tahu anak kami masih mengenali kami walaupun setelah dibedah. Tetapi dalam masa yang sama sedih kerana tidak dapat mendukung dan memeluknya. Kami terpaksa berada di hospital selama lebih kurang 3 bulan untuk menjaga anak kami sehingga dia betul-betul sembuh. Setiap hari doktor akan datang memeriksa untuk melihat perkembangannya. Hospital tu boleh dikatakan macam rumah kami selama 3 bulan dan anak kami juga membesar di hospital, sehingga dia pandai berjalan di situ. Suami hanya balik sekali-sekala untuk mengambil barang-barang seperti pakaian dan sebagainya. Saya merasa amat bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk bersama dengan anak kami, permata hati kami. Saya tidak tahu bagaimana rasanya jika kehilangannya pada masa itu. Saya berharap anak kami akan terus diberikan kesihatan dan membesar menjadi anak yang soleh. Amiiiin....
Permata Hatiku ....Muhammad Daniel Awatif
Ibu sayang kamu sangat-sangat.....!!!
No comments:
Post a Comment